Perbelanjaan modal terkawal TNB dijangka cecah RM12 bilion pada FY25 didorong agenda peralihan tenaga - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perbelanjaan modal terkawal TNB dijangka cecah RM12 bilion pada FY25 didorong agenda peralihan tenaga - TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Sept - Perbelanjaan modal terkawal Tenaga Nasional Berhad (TNB) dijangka mencecah RM12 bilion pada FY25 termasuk RM1 bilion hingga RM2 bilion perbelanjaan modal luar jangka, kata TA Securities.

 

Katanya, pelaburan itu bertujuan memenuhi pertumbuhan permintaan elektrik negara selain mempercepatkan agenda peralihan tenaga Malaysia.

 

Firma penyelidikan itu berkata, setakat separuh pertama FY25, TNB telah membelanjakan RM5.2 bilion bagi capex terkawal, sekali gus meningkatkan aset terkawal kepada RM71.4 bilion. 

 

"Sekitar 55% daripada perbelanjaan modal luar jangka FY25 akan digunakan untuk memenuhi pertumbuhan permintaan, manakala selebihnya akan menyokong projek peralihan tenaga termasuk integrasi tenaga boleh diperbaharui (RE) dan pemodenan grid," katanya dalam satu nota kajian.

 

Antara projek utama termasuk talian atas 500kV Bentong South–Lenggeng, yang menjadi pautan kritikal dalam mengukuhkan grid nasional, pelaksanaan pemasangan meter pintar di seluruh negara, automasi lebih 4,000 pencawang elektrik, serta projek perintis Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) di Santong yang disasarkan siap menjelang akhir 2026.

 

Pusat data turut muncul sebagai pemacu pertumbuhan utama, dengan jumlah projek sambungan mencapai 6.7GW setakat Ogos 2025.

 

Walaupun berlaku penstrukturan semula tarif elektrik pada Julai – yang meningkatkan kadar tarif pusat data sebanyak kira-kira 15% – TNB terus memperoleh perjanjian bekalan elektrik baharu, mencerminkan permintaan kukuh daripada ekonomi digital.

 

TA Securities menjangkakan, mekanisme pemulihan bagi perbelanjaan modal luar jangka RP4 yang bakal dimuktamadkan pada 2HFY25 akan membolehkan RNB mengiktiraf pulangan tambahan, sekali gus meningkatkan keuntungan terkawal pada separuh kedua tahun ini.

 

Namun begitu, cabaran jangka pendek kekal wujud. Selepas tamatnya insentif Elaun Pelaburan Semula pada FY24, kadar cukai efektif TNB dijangka kekal tinggi antara 28% hingga 30% (berbanding kurang 20% sebelum ini). Susulan itu, unjuran keuntungan bersih FY25F–27F telah disemak turun antara 6% hingga 13%.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, cukai tambahan berjumlah RM10.7 bilion tidak akan menjejaskan pelaksanaan capex, memandangkan kesan aliran tunai telah sebahagiannya diimbangi dengan pembayaran terdahulu serta proses perundangan yang sedang berjalan.

 

TA Securities mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM15.80 sesaham.- DagangNews.com