KUALA LUMPUR 6 Jan – Sarawak Metro Sdn Bhd kini melangkah ke era baharu selepas secara rasmi menjadi Syarikat Milik Kerajaan Negeri (SOE) yang dimiliki sepenuhnya oleh Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak (SFS).
Langkah ini dijangka memperkukuh pengurusan syarikat serta mempercepat pembangunan sistem pengangkutan awam di negeri itu.
Sarawak Metro sebelum ini berstatus anak syarikat di bawah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).
Sebagai SOE, syarikat kini berada di bawah kawalan langsung kerajaan negeri, sejajar dengan inisiatif penstrukturan strategik Sarawak.
Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Metro Ts. Mazli Mustaffa berkata keputusan ini adalah langkah strategik untuk menyelaraskan tadbir urus korporat dan memperkuat perancangan pembangunan jangka panjang syarikat.
“Status baharu ini membawa peluang besar, tetapi pada masa sama menuntut lebih banyak tanggungjawab, termasuk pencapaian sasaran projek penting tahun ini dan seterusnya.
“Fokus utama Sarawak Metro kini adalah kepada Projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang menjadi lambang perubahan dalam pengangkutan bandar apabila peringkat pertama operasi Kenderaan Transit Aliran Autonomi (ART) bermula menjelang hujung 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pembinaan laluan ART telah bermula dua tahun lalu dengan Blue Line menjadi permulaan diikuti Red Line, lengkap dengan stesen dan lorong khas bagi sistem ini.
Selain laluan, Sarawak Metro sedang menyiapkan depot ART di Rembus, Kota Samarahan yang akan menjadi pusat operasi dan penyelenggaraan untuk rangkaian pengangkutan baharu ini.
Mazli menjelaskan tahun 2026 akan memberi cabaran besar kerana projek ART memerlukan koordinasi rapi antara pembinaan, ujian sistem dan persiapan operasi sebenar.
Dengan peralihan menjadi SOE, syarikat dijangka lebih efisien dalam pengurusan projek serta pelaksanaan strategi pembangunan, seterusnya memperkukuh visi Sarawak untuk menjadikan Kuching sebagai bandar pintar dengan pengangkutan awam moden.
Kerajaan negeri percaya transformasi Sarawak Metro ini akan memberi manfaat besar kepada penduduk bandar, mempercepat mobiliti, dan menarik pelaburan serta pembangunan ekonomi di kawasan sekitar. - DagangNews.com








