Perak kutip RM1.08 juta caj CPT setelah 2 bulan dilaksana | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perak kutip RM1.08 juta caj CPT setelah 2 bulan dilaksana

Perak perkenalkan caj CPT bagi meningkatkan mutu perkhidmatan pelancongan.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 22 APRIL - Sebanyak RM1.08 juta dikutip kerajaan Perak iaitu RM3 semalam penginapan menerusi Caj Perkhidmatan Tempatan (CPT) dalam tempoh dua bulan pertama sejak diperkenalkan bermula 1 Januari lalu.

 

Angka ini mewakili 359,324 malam penginapan yang direkodkan Jan-Feb 2025. 

 

CPT merupakan bayaran tambahan kepada pengunjung yang menginap di hotel dan homestay dengan kadar RM3 semalam untuk semua kategori hotel. 

 

 

 

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, ini menunjukkan tahap penginapan yang tinggi dalam kalangan pelancong yang memilih Perak sebagai destinasi percutian. 

 

Perak

 

Menurut beliau, pelaksanaan ini berlandaskan Peraturan-Peraturan Hotel Perak 2024 di bawah Enakmen Hotel Perak 2023 dengan kutipan boleh dibuat secara fizikal atau atas talian. 

 

“Impak positif CPT dapat dilihat di Pulau Pangkor dengan peningkatan ketara jumlah pelancong. 

 

“Pada Januari 2025, seramai 72,303 pelancong berkunjung ke Pulau Pangkor berbanding hanya 31,038 pelancong pada Januari 2024, mencatatkan peningkatan sebanyak 41,265 orang.

 

“Ini menunjukkan pelaksanaan CPT tidak menghalang, malah bersamaan dengan peningkatan kedatangan pelancong ke negeri Perak,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

 

Perak

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri Pangkor, Norhaslinda Zakaria tentang kesan pelaksanaan CPT.

 

Caj baharu itu tertakluk kepada bilik penginapan berbayar untuk setiap malam selain termaktub di bawah Enakmen Hotel 2023 yang diluluskan pada Sidang DUN Perak tahun 2023.

 

CPT dilihat berpotensi membantu kerajaan negeri meningkatkan mutu perkhidmatan, khususnya di pelbagai lokasi pelancongan seluruh negeri.

 

Caj seumpama itu sudah dilaksanakan oleh beberapa negeri lain dengan pelbagai nama dan tafsiran berlainan. - DagangNews.com