KUALA LUMPUR 2 Mei - Syarikat milik kerajaan negeri Perak, Perak Corporation Bhd (PCB) yang dikategorikan sebagai syarikat PN17 sejak 2020, berisiko untuk ditutup sekiranya gagal mengemukakan pelan pemulihan sekali lagi kepada Bursa Malaysia.
PCB berkata, ia menyediakan laporan kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2024 dengan andaian tidak lagi mampu beroperasi seperti biasa kerana terus menghadapi masalah kewangan, termasuk kekurangan wang tunai dan gagal membayar hutang.
"Keputusan ini disokong oleh juruaudit luar, Crowe Malaysia PLT, yang turut memberi amaran tentang beberapa risiko seperti kemampuan syarikat membayar hutang, kerugian jaminan sebanyak RM97.5 juta dan nilai aset yang mungkin jatuh jika dijual segera," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Syarikat menjelaskan, walaupun mencatat keuntungan selepas cukai sebanyak RM16.8 juta, kedudukan kewangan masih lemah.
Tambahnya, jumlah liabiliti semasa melebihi aset semasa sebanyak RM40.2 juta, manakala pinjaman jangka pendek berjumlah RM52 juta, jauh lebih tinggi berbanding tunai yang ada iaitu RM33.2 juta.
"Lebih membimbangkan, syarikat hanya memiliki tunai sebanyak RM20,000 sedangkan perlu menanggung tanggungan jangka pendek sebanyak RM42.3 juta," ujarnya.
Ketika ini, PCB berada di peringkat akhir merangka pelan penyusunan semula untuk mengurangkan kerugian terkumpul dan memperkukuh modal syarikat.
Bursa Malaysia telah memberi lanjutan masa sehingga 9 Ogos 2025 untuk mengemukakan pelan tersebut.
PCB menegaskan, tanpa pelan pemulihan yang berkesan, syarikat tidak mampu beroperasi seperti biasa dan berisiko kehilangan status penyenaraian. - DagangNews.com








