KUALA LUMPUR 21 April - Penyedia perkhidmatan latihan dan rundingan pembangunan bakat, PEOPLElogy Bhd, melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) bagi disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan sasaran mengumpul dana sehingga RM26.25 juta.
IPO itu ditawarkan pada harga 25 sen sesaham, melibatkan keseluruhan 105 juta saham baharu.
Tiada saham sedia ada dijual, bermaksud pemegang saham semasa tidak menjual pegangan mereka dalam IPO tersebut.
Permohonan untuk IPO akan ditutup pada 6 Mei 2025 dan saham syarikat dijadualkan untuk disenaraikan pada 20 Mei 2025.
PEOPLElogy menyediakan khidmat rundingan bakat organisasi, penilaian profil, latihan, penganjuran acara dan persidangan, selain menjual platform pembelajaran dalam talian dan sistem latihan digital.
Pada harga IPO, syarikat akan mempunyai modal pasaran sebanyak RM102.93 juta, dengan penilaian hampir 19 kali ganda daripada keuntungan bersih tahun 2024 semasa disenaraikan.
Daripada jumlah kutipan IPO, sebanyak 32.38% akan digunakan untuk membina makmal simulasi komputer (Cyber Range), manakala 15.24% diperuntukkan untuk pengembangan pembangunan perisian R&D.
Pengarah Urusan dan pengasas PEOPLElogy, Allen Lee berkata, makmal simulasi itu penting memandangkan permintaan terhadap program keselamatan siber semakin meningkat susulan ancaman dalam talian dan insiden kebocoran data yang kian membimbangkan di Malaysia.
"PEOPLElogy melihat keperluan mendesak untuk melengkapkan individu dan organisasi dengan kemahiran bagi menghadapi cabaran dunia digital," katanya sempena pelancaran prospektus syarikat, hari ini seperti laporan The Edge.
Baki dana akan digunakan untuk pengembangan pejabat dan pusat latihan di Indonesia, Filipina dan Malaysia Timur, serta penubuhan pejabat serantau di Singapura.
Sebahagian lagi diperuntukkan untuk modal kerja dan kos berkaitan penyenaraian.
Keuntungan bersih PEOPLElogy menyusut 5.7% kepada RM5.47 juta pada 2024 akibat kos yang lebih tinggi, walaupun hasil meningkat 18.2% kepada RM29.24 juta.
Margin keuntungan selepas cukai menurun kepada 18.7%, berbanding 23.4% pada 2023.
PEOPLElogy dimiliki bersama oleh Lee dan isterinya, Lim Szu Yee.
Selepas IPO, Lee akan kekal sebagai pemegang saham terbesar dengan 24.27% pegangan langsung, serta 21.01% pegangan tidak langsung melalui syarikat miliknya, PEOPLElogists Sdn Bhd, manakala Szu Yee akan memiliki 4.69%.
PEOPLElogy turut disokong oleh tokoh korporat berpengaruh termasuk Pengarah Press Metal, David Lim; Pengerusi Infinity Logistics & Transport Ventures di Hong Kong, Tan Sri Nelson Tan; dan pelabur utama dalam beberapa syarikat seperti Genetec dan Seal Incorporated, Chen Khai Voon.
Kenanga Investment Bank bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO tersebut. - DagangNews.com








