KUALA LUMPUR 17 April - Penyerahan MASwings kepada kerajaan negeri Sarawak tidak akan memberi sebarang kesan kewangan kepada penyata untung rugi Malaysia Aviation Group (MAG).
Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail berkata, MASwings bukanlah sebuah syarikat yang menjana keuntungan, sebaliknya beroperasi sebagai organisasi yang menjalankan tanggungjawab perkhidmatan awam.
“Pada satu tahap, penyerahan ini juga mengurangkan beban dan gangguan kepada MAG dalam menguruskan MASwings selepas ini,” katanya semasa taklimat media Prestasi Tahunan MAG 2024, hari ini.
MAG telah menandatangani perjanjian jual beli dengan kerajaan negeri Sarawak bagi memuktamadkan pemindahan pemilikan MASwings pada 12 Februari 2025.
Kerajaan Sarawak berhasrat untuk menjenamakan semula MASwings sebagai AirBorneo dan mengendalikannya sebagai syarikat penerbangan milik negeri.
Izham berkata, walaupun MASwings tidak menjana keuntungan, ia menerima insentif tahunan daripada kerajaan.
“Apa yang kami peroleh daripada MASwings hanyalah insentif, kira-kira RM10 juta setahun. Pada asas harian atau bulanan. Kami tidak rugi. Kami juga tidak buat untung daripadanya,” katanya.
Beliau menekankan, MASwings beroperasi untuk memastikan sambungan ke kawasan luar bandar, selaras dengan mandat kerajaan di bawah tanggungjawab perkhidmatan awam.
“Jadi tiada kesan kepada penyata untung rugi kami. Mungkin ada yang tertanya kenapa kami terus mengendalikan MASwings selama ini. Ia kerana tanggungjawab perkhidmatan awam melalui Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS),” jelasnya.
Beliau turut menegaskan, MASwings telah memainkan peranan penting dalam menyokong matlamat pembinaan negara, dan menjadi tanggungjawab MAG untuk memastikan kawasan bandar dan luar bandar di Sabah dan Sarawak terus berhubung. - DagangNews.com








