Penyasaran subsidi tidak tambah hutang negara, mampu jimatkan sehingga RM4 bilion setahun, menurut Kementerian Kewangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penyasaran subsidi tidak tambah hutang negara, mampu jimatkan sehingga RM4 bilion setahun, menurut Kementerian Kewangan

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 5 Dis – Penyasaran semula subsidi petrol RON95 dijangka menjana penjimatan tahunan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion, sekali gus menjadi antara penyumbang terbesar kepada usaha pengukuhan disiplin fiskal negara tanpa menambah hutang kerajaan, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

 

Dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, MOF berkata anggaran penjimatan itu dibuat berdasarkan data penggunaan domestik semasa serta andaian bahawa kira-kira 20% pengguna RON95 pada masa ini adalah golongan yang tidak layak menerima subsidi.

 

“Julat penjimatan tersebut mengambil kira pelbagai senario harga minyak mentah global antara US$60 hingga US$80 setong, selain pelaksanaan penghapusan subsidi ke atas segmen tidak disasarkan seperti warga asing dan pengguna komersial,” menurut kementerian itu.

 

 

 

 

 

 

MOF menegaskan pelaksanaan penyasaran subsidi bukan langkah yang menambah hutang negara, sebaliknya satu strategi penting bagi mengurangkan liabiliti fiskal jangka panjang, menstabilkan kedudukan kewangan kerajaan serta mengekalkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi Malaysia.

 

Menurut MOF, penjimatan besar hasil langkah itu akan digunakan semula untuk tujuan berimpak tinggi kepada rakyat, termasuk pembiayaan kemudahan pendidikan, kesihatan dan pengangkutan awam, selari dengan keutamaan pembangunan negara.

 

Dari sudut impak kepada kos sara hidup, kementerian itu menjelaskan pendekatan penyasaran subsidi tidak dijangka mencetuskan lonjakan inflasi yang mendadak berbanding kaedah menaikkan harga RON95 kepada harga pasaran untuk semua pengguna.

 

“Inflasi keseluruhan negara dijangka kekal di bawah dua peratus bagi 2025 dan 2026,” kata MOF, sambil menjelaskan kaedah penyasaran juga dapat menampung perbezaan tahap penggunaan RON95 dalam kalangan rakyat yang mempunyai jarak perjalanan harian berbeza.

 

 

 

 

 

 

 

MOF turut menegaskan komitmen kerajaan untuk terus mengamalkan pendekatan fiskal yang berhemah dan bertanggungjawab, dengan penyasaran subsidi sebagai antara instrumen utama untuk memastikan peruntukan awam disalurkan secara lebih efektif.

 

Jawapan itu diberikan bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli (PH–Pandan) yang meminta penjelasan mengenai anggaran kos sistem, perbelanjaan pelaksanaan program subsidi RON95 bagi 2025 hingga 2027, selain penggunaan semula penjimatan tersebut serta kesannya terhadap penambahbaikan defisit fiskal negara. - DagangNews.com