Penurunan permintaan diramal jadi cabaran sebenar syarikat teknologi Malaysia, bukan tarif - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penurunan permintaan diramal jadi cabaran sebenar syarikat teknologi Malaysia, bukan tarif - HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Sept - Syarikat teknologi Malaysia berdepan risiko kadar tarif langsung yang terhad memandangkan pendedahan jualan ke Amerika Syarikat (AS) adalah rendah serta kemungkinan berlaku pengecualian yang diperoleh daripada pelanggan besar dari negara itu seperti Apple, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, buat masa ini sektor tersebut masih diberikan pengecualian tarif cip yang berterusan serta gencatan tarif sementara antara AS da China.

 

"Risiko yang lebih besar pada pandangan kami ialah terletak pada kesan tidak langsung atau sekunder seperti permintaan akhir yang lemah dan ia sukar untuk ditentukan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengumuman mengenai tarif semikonduktor di bawah Seksyen 232 dijangka berlaku tidak lama lagi sejajar dengan ketegangan perdagangan yang semakin memuncak.

 

Merujuk laporan Wall Street Journal, HLIB berkata cadangan draf dasar yang sedang dipertimbangkan akan mewajibkan pengeluar cip menghasilkan satu cip buatan domestik bagi setiap cip import atau berdepan penalti sehingga 100% tarif import.

 

Walaupun dasar itu bertujuan untuk menggalakkan pengeluaran semula cip di AS, HLIB menekankan kerumitan dalam pelaksanaannya.

 

“Dari perspektif rantaian bekalan, nisbah ketat 1:1 antara import dan pengeluaran domestik penuh dengan kerumitan, kerana rantaian bekalan semikonduktor sangat global dan saling berhubung,” katanya.

HLIB berkata, satu litar bersepadu (IC) melibatkan pelbagai peringkat — termasuk reka bentuk di AS, fabrikasi wafer di Taiwan, pembungkusan dan ujian di Asia Tenggara, serta pemasangan akhir di China.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pelaksanaan nisbah 1:1 akan memerlukan tahap keterlihatan rantaian bekalan yang belum pernah berlaku sebelum ini, termasuk sistem pengesanan serta mekanisme audit yang menyeluruh.

 

Dari segi implikasi kepada syarikat, HLIB berkata, Inari Amertron Berhad memperoleh sekitar 60% hingga 70% hasil daripada penapis frekuensi radio (RF), di mana wafer difabrikasi di AS sebelum dihantar ke Malaysia untuk proses pembungkusan.

 

Pemasangan akhir dilakukan di China dan India untuk sebuah jenama telefon pintar AS, dengan kira-kira 30% daripada jualan tahunan jenama itu datang daripada pasaran AS.

 

HLIB berkata, keputusan tarif ke atas telefon pintar adalah lebih kritikal bagi Inari, namun risiko tersebut setakat ini telah dapat dikurangkan melalui pengecualian yang diperoleh pengeluar telefon pintar AS berkenaan.

 

Sementara itu, Frontken Corp Bhd kekal berkait rapat dengan TSMC, yang terus mendominasi dalam pengeluaran cip berteknologi tinggi.

 

Bagi Unisem (M) Bhd, kira-kira dua pertiga daripada jualannya datang daripada pelanggan berpangkalan di AS terutamanya firma fabless dan pengeluar peranti bersepadu.

 

Namun, HLIB berkata, kebanyakan rantaian bekalan syarikat-syarikat ini masih tertumpu di Asia, manakala pemain RF pula sudah pun beroperasi di fasiliti di AS.

 

Keadaan ini mengehadkan pendedahan langsung Unisem terhadap risiko tarif.

 

Secara keseluruhan, HLIB mengekalkan pendirian “neutral” terhadap sektor teknologi, dengan mengambil pendekatan yang lebih selektif. - DagangNews.com