Penurunan harga alumina global, RHB Research jangka Press Metal catat untung bersih sehingga RM520 juta pada 2QFY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penurunan harga alumina global, RHB Research jangka Press Metal catat untung bersih sehingga RM520 juta pada 2QFY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Press Metal Aluminium Holdings Berhad dijangka mencatatkan untung bersih antara RM480 juta hingga RM520 juta bagi suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25) didorong penurunan ketara dalam harga alumina global, kata RHB Research.

 

Katanya, faktor utama yang mendorong prestasi itu adalah harga alumina yang menyusut kepada AS$350 setiap tan, merosot sebanyak 34% berbanding suku sebelumnya. Penyusutan itu mengurangkan nisbah kos alumina kepada aluminium kepada 14%, jauh di bawah purata sejarah tiga tahun sebanyak 18%.

 

Bagaimanapun, kesan positif itu mungkin diimbangi oleh harga purata aluminium di London Metal Exchange (LME) yang lebih rendah pada suku tersebut, iaitu AS$2,446 setiap tan, serta premium di Pelabuhan Utama Jepun (MJP) yang turut menurun sebanyak 38% dari suku tahun ke suku tahun kepada AS$127 setiap tan.

 

"Secara tahunan (YoY), keuntungan dijangka menunjukkan prestasi bercampur dengan anggaran antara -6% hingga +2%, memandangkan kos alumina yang lebih rendah (-19% YoY) turut diseimbangkan oleh harga LME yang lembap (-3% YoY) dan peningkatan harga karbon anoda sebanyak 28%.

 

"Press Metal dijadual mengumumkan keputusan kewangan 2QFY25 pada 21 Ogos ini. Walaupun angka keuntungan dijangka kukuh, ia masih berada sedikit di bawah jangkaan awal kami," katanya dalam satu nota kajian.

 

RHB Research berkata, syarikat yang terkenal dengan struktur kos rendah ini terus mendapat perhatian pelabur, berikutan peningkatan dalam sumbangan produk nilai tambah yang menawarkan margin lebih tinggi. 

 

Saham Press Metal kini diniagakan pada 22 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) bagi tahun kewangan 2026 – sedikit di bawah purata lima tahun sebanyak 24 kali.

 

"Dengan kestabilan harga aluminium dijangka berterusan sepanjang baki tahun 2025 dan pengeluaran global yang kekal terhad, Press Metal berada pada kedudukan yang baik untuk mengekalkan momentum prestasi dalam persekitaran industri yang mencabar," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM6.26 sesaham. - DagangNews.com