KUALA LUMPUR 17 Julai - Top Glove Corp Bhd berpotensi mencatatkan pertumbuhan dua angka pada 4QFY25 didorong peningkatan tempahan ketara dari Amerika Syarikat (AS), kata Kenanga Research.
Katanya, kumpulan itu melihat AS sebagai enjin pertumbuhan utama, dengan momentum semasa dalam eksport menunjukkan peningkatan berterusan dalam penguasaan pasaran.
Firma penyelidikan itu melaporkan peningkatan ketara dalam jualan kumpulan ke AS, yang terus berkembang bulan ini dan kini merangkumi 30% daripada jumlah keseluruhan jualan kumpulan – peningkatan ketara berbanding 26% pada suku sebelumnya.
Katanya, Top Glove berkemungkinan mengambil bahagian pasaran daripada syarikat sarung tangan lain di pasaran AS.
“Kumpulan ini menyasarkan AS untuk menyumbang 40% daripada jumlah jualan kumpulan dalam tempoh dua tahun akan datang.
“Top Glove optimis terhadap pertumbuhan kukuh dalam jumlah jualan secara berurutan pada 4QFY25, didorong peningkatan pesanan dari pasaran AS yang mampu mengimbangi kelembapan di Eropah,” katanya dalam satu nota kajian.
Keyakinan Top Glove disokong oleh peningkatan ketara dalam kadar penggunaan kapasiti, yang mencecah 65% setakat bulan lalu, berbanding 61% pada 3QFY25 dan 58% pada 2QFY25.
Peningkatan itu diterjemahkan kepada lebih 3.3 bilion keping sarung tangan terjual setiap bulan – meningkat daripada kurang tiga bilion pada April – yang boleh menyumbang sebanyak RM70 juta setiap suku tahun, atau 2% daripada hasil pendapatan.
“Top Glove menjangkakan jumlah jualan akan meningkat sebanyak 15% suku ke suku, didorong oleh pesanan dari AS dan kadar penggunaan yang lebih tinggi dalam 4QFY25.
“Malah, kadar penggunaan pada bulan lalu adalah 65% berbanding 61% pada 3QFY25,” katanya.
Dari segi purata harga jualan (ASP), Top Glove percaya pesaing dari China tidak dapat mengekalkan harga yang terlalu rendah seperti yang dilihat pada 2022 hingga 2023.
“Kumpulan menganggarkan harga pulang modal bagi pengeluar sarung tangan dari China adalah sekitar AS$14 hingga AS$15 bagi setiap 1,000 keping berbanding pengeluar Malaysia yang cekap pada kadar AS$15 hingga AS$16,” kata firma penyelidikan itu.
Kenanga Research mengekalkan saranan “outperform” terhadap Top Glove dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak 93 sen sesaham.- DagangNews.com








