KUALA LUMPUR 13 Mei - Pengurangan tarif perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China mungkin tidak menguntungkan pengeluar sarung tangan Malaysia kerana ketidakpastian berterusan boleh melambatkan keputusan pembelian.
Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) berkata, selain itu, ia juga boleh mengurangkan daya saing eksport sarung tangan Malaysia ke AS berbanding dengan produk dari China.
Katanya, tarif ke atas sarung tangan China mungkin kembali ke tahap sebelumnya, bergantung kepada hasil rundingan semasa.
Firma penyelidikan itu juga memberi amaran, kapasiti pengeluaran baharu dari pengeluar sarung tangan China di Asia Tenggara, yang dijangka bermula pada 2026, boleh meningkatkan risiko bekalan dan mengurangkan potensi keuntungan.
"Tarif ke atas pengeluar sarung tangan China masih tidak jelas. Sumber industri mencadangkan kadar 80%, menggabungkan tarif balas 30% selama 90 hari dan tarif sebelumnya yang dikenakan oleh bekas Presiden AS, Joe Biden.
"Namun, ini belum disahkan kerana kadar 30% mungkin tidak terpakai untuk barangan yang sudah dikenakan tarif tinggi sebelum ini. Kadar sebenar mungkin kekal pada 50% seperti yang dikenakan sebelum ini," kata Maybank IB dalam satu nota kajian.
Mulai 14 Mei 2025, AS akan mengurangkan sementara tarif ke atas import dari China daripada 145% kepada 30%, manakala China akan menurunkan tarif ke atas import AS daripada 125% kepada 10%.
Maybank IB menegaskan, walaupun pengurangan tarif sementara mungkin tidak meningkatkan daya saing pengeluar China, ketidakpastian itu boleh menyebabkan pelanggan menangguhkan pesanan, seterusnya mengurangkan jualan.
Selain itu, peningkatan kapasiti pengeluaran dari pengeluar China di Asia Tenggara bermula 2026 boleh menjejaskan jumlah jualan dan harga purata jualan (ASP) sarung tangan Malaysia.
"Walaupun tarif 50% dan 100% ke atas sarung tangan China memberi peluang kepada pengeluar Malaysia untuk menguasai pasaran AS, ia juga menyebabkan mereka terlalu bergantung pada satu pasaran sahaja.
"Kebergantungan ini menyebabkan pengeluar Malaysia kehilangan pasaran di negara lain yang semakin dikuasai China," tambah Maybank IB.
Keadaan berkenaan mungkin bertambah buruk apabila kapasiti baharu dari pengeluar China di Asia Tenggara mula beroperasi pada 2026, dengan sasaran untuk meraih semula bahagian pasaran AS.
"Oleh itu, pengeluar Malaysia mungkin menghadapi persaingan lebih sengit di AS, sambil terus kehilangan pasaran di negara lain yang dikuasai China," jelasnya.
Maybank IB turut menurunkan penilaian sektor sarung tangan kepada 'negatif' daripada 'neutral' kerana risiko pendapatan akibat jualan yang perlahan.
Sementara itu, CIMB Securities menyatakan, pembeli global mungkin terus mengamalkan strategi mempelbagaikan sumber seperti mendapatkan sarung tangan dari pelbagai negara dan pembekal.
"Pada masa ini, pembeli AS lebih cenderung untuk mengambil pendekatan tunggu dan lihat kerana turun naik harga dan ketidakpastian dasar.
"Ini mengakibatkan permintaan lebih lemah dan jumlah pembelian yang rendah untuk pengeluar Malaysia, yang dijangka berterusan sehingga separuh pertama 2025," ujarnya. - DagangNews.com








