KUALA LUMPUR 23 Julai - Langkah-langkah yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membantu meringankan kos sara hidup dan merangsang perbelanjaan isi rumah, kata Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM).
"ACCCIM mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri mengenai langkah-langkah berkenaan bagi menunjukkan penghargaan kepada rakyat, termasuk bantuan tunai sekali sahaja sebanyak RM100 untuk semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas di bawah inisiatif Sumbangan Asas Rahmah (SARA), jualan Rahmah Madani dan pembekuan kenaikan kadar tol.
"Rakyat Malaysia akan menikmati harga petrol RON95 yang lebih rendah iaitu RM1.99 seliter apabila subsidi bersasar mula dilaksanakan pada September ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Harga RON95 turun kepada RM1.99 seliter, beri manfaat 18 juta pemandu kereta, penunggang motosikal - PM Anwar
Sementara menunggu pengumuman terperinci mengenai mekanisme rasionalisasi subsidi bahan api dari segi kelayakan, pihaknya berkata penurunan harga RON95 sebanyak 6 sen seliter akan memberi manfaat kepada kira-kira 18 juta pengguna kereta dan motosikal.
ACCCIM turut menyatakan harapan agar pelaksanaan subsidi bersasar baharu itu dapat dilaksanakan dengan lancar.
ARTIKEL BERKAITAN: Warganegara dewasa terima RM100 sekali beri melalui MyKad mulai 31 Ogos – PM Anwar
Mengenai cuti khas pada 15 September ini sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September, ACCCIM berkata, cuti tersebut dapat menggalakkan pelancongan domestik sepanjang cuti hujung minggu yang panjang, namun ia juga boleh menyebabkan peningkatan kos buruh yang seterusnya menambah kepada kos keseluruhan menjalankan perniagaan.
ACCCIM juga menyatakan, pihaknya menantikan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) pada 31 Julai ini serta Belanjawan 2026 yang akan datang, sambil menambah, pelan lima tahun kerajaan dan perancangan perbelanjaan itu akan memastikan kesinambungan pembangunan negara, mengutamakan daya tahan ekonomi yang mampan dan pelaburan berkualiti tinggi.
ARTIKEL BERKAITAN: Kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya ditangguhkan, kerajaan tanggung kos lebih RM500 juta - PM Anwar
ACCCIM turut berharap, tiada langkah percukaian atau dasar baharu yang diperkenalkan di bawah Belanjawan 2026 yang boleh menambah beban kepada perniagaan yang kini sudahpun terkesan dengan peningkatan kos.
“Malaysia mesti terus mengekalkan dasar mesra pelaburan dan perniagaan untuk menarik serta mengekalkan pelaburan domestik dan asing, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi,” katanya.- DagangNews.com








