Pengendali kerusi urut layan diri RNG Tech rancang IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengendali kerusi urut layan diri RNG Tech rancang IPO di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Sept – Pengendali kerusi urut layan diri terbesar negara, RNG Tech Bhd merancang penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan tawaran awam permulaan (IPO) melibatkan sehingga 26% pegangan saham syarikat.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, RNG Tech berkata, IPO itu merangkumi 126.08 juta saham baharu (16%) serta tawaran jualan 78.8 juta saham sedia ada (10%). 

 

“Selepas penyenaraian, modal saham syarikat akan meningkat kepada 788 juta unit.

 

“Hasil kutipan IPO akan digunakan bagi membuka stesen RNG dan outlet premium baharu, menaik taraf outlet sedia ada, serta membayar balik pinjaman,” kata syarikat itu.

 

Bagaimanapun, pecahan penggunaan dana belum diperincikan dalam pendedahan prospectus RNG Tech.

 

Ditubuhkan pada April 2024, RNG Tech dikenali sebagai pengendali kerusi urut layan diri terbesar di Malaysia dari segi hasilnya dengan operasi di pusat beli-belah, lapangan terbang dan hentian rehat. Ia turut beroperasi di Singapura, Thailand, Kemboja, Brunei, Vietnam serta Filipina.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, RNG Tech merekodkan hasil RM40.32 juta dan untung bersih RM14.52 juta, berbanding RM23.32 juta hasil dan RM7.34 juta untung pada tahun sebelumnya.

 

Selepas IPO, pegangan pemegang saham utama Datuk Goh Cheh Yak akan berkurang daripada 90.6% kepada 73.3% manakala pegangan isterinya, Datin Tan Sok Fei yang juga Pengarah Urusan syarikat akan jatuh daripada 9.4% kepada 0.7%. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif, Chang Kai Ren, dan Ketua Pegawai Kewangan, Shin Kok Leong masing-masing akan memegang 0.1% sekiranya mereka melanggan penuh hak mereka.

 

Syarikat itu dipengerusikan oleh Tengku Datuk Setia Putra Alhaj.

 

RNG Tech telah mengguna pakai dasar dividen minimum 30% daripada keuntungan tahunan, tertakluk kepada keperluan modal kerja dan perbelanjaan.

 

M&A Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi penyenaraian tersebut. - DagangNews.com