KUALA LUMPUR 10 Dis – Pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) Malaysia menurun 5.3% kepada 1.94 juta tan pada November 2025 berbanding 2.04 juta tan pada Oktober, menurut laporan Prestasi Industri Minyak Sawit Malaysia oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Menurut laporan itu, eksport minyak sawit turut menyusut 28.13% kepada 1.21 juta tan berbanding 1.69 juta tan pada bulan sebelumnya.
“Pengeluaran isirung sawit merosot 7.43% kepada 442,266 tan, manakala pengeluaran minyak isirung sawit menurun 1.35% kepada 207,679 tan dan dedak isirung sawit (PKC) berkurangan 1.92% kepada 225,357 tan.
“Stok minyak sawit mentah meningkat 17.56% kepada 1.74 juta tan, manakala stok minyak sawit terproses naik 6.5% kepada 1.09 juta tan, menjadikan jumlah stok minyak sawit keseluruhan meningkat 13.04% kepada 2.83 juta tan daripada 2.51 juta tan pada Oktober,” menurut laporan tersebut.
Eksport minyak isirung sawit menurun 13.2% kepada 87,287 tan, manakala eksport PKC meningkat 5.02% kepada 228,080 tan.
Selain itu, eksport oleokimia merosot 20.13% namun eksport biodiesel melonjak 104.79% kepada 47,059 tan.
MPOB melaporkan import minyak sawit mentah bagi bulan November adalah sifar, manakala import minyak isirung sawit menurun 61.3% kepada 3,365 tan berbanding 8,695 tan pada bulan sebelumnya. -- BERNAMA








