KUALA LUMPUR 11 Sept - Keuntungan syarikat perladangan diramal stabil pada separuh kedua 2025 (2H25) didorong pengeluaran buah tandan segar (BTS) lebih tinggi selepas pengeluaran memasuki musim puncak, kata RHB Research.
Bagaimanapun, katanya, harga minyak sawit mentah (MSM) diramal sederhana dan dilihat bakal mengehadkan potensi lonjakan keuntungan syarikat perladangan.
Firma penyelidikan itu berkata, prestasi suku kedua 2025 (2Q25) memberikan keyakinan dengan tujuh syarikat perladangan mencatatkan keputusan melebihi jangkaan, lima menepati unjuran manakala satu lagi gagal mencapai sasaran.
Antara penyumbang utama ialah syarikat yang beroperasi di Indonesia atau mempunyai pendedahan besar di negara tersebut, didorong pembelian BTS luar lebih tinggi, margin hiliran yang kukuh serta kos pengeluaran lebih rendah.
"Data menunjukkan inventori minyak sawit Malaysia meningkat 4% bulan ke bulan kepada 2.2 juta tan pada Ogos 2025, sekali gus menjadikan nisbah stok kepada penggunaan lebih tinggi.
"Paras ini dijangka kekal melebihi 2 juta tan dalam tempoh terdekat, sejajar dengan musim pengeluaran puncak.
“Walaupun peningkatan inventori memberi tekanan kepada harga, permintaan perayaan hujung tahun dijangka menjadi faktor sokongan. Oleh itu, kami kekal dengan andaian harga MSM kekal pada paras RM4,100 satu tan bagi 2025 dan RM4,000 satu tan bagi 2026,” katanya dalam satu nota kajian.
RHB Research berkata, pengeluaran BTS di Malaysia melonjak 17.5% dari suku tahun ke suku tahun dan 5% dari tahun ke tahun pada 2Q25.
Firma penyelidikan itu menjangkakan pertumbuhan sederhana akan berterusan sepanjang 2H25. Sementara itu, di Indonesia, pengeluaran meningkat 12.9% dari suku tahun ke suku tahun dan 10.4% dari tahun ke tahun hasil pemulihan selepas kesan El Nino pada 2024.
"Namun begitu, pertumbuhan di Indonesia dijangka sederhana pada separuh kedua, kesan asas yang tinggi pada suku akhir 2024," katanya.
RHB Research mengekalkan saranan "neutral" terhadap sektor perladangan dengan pelabur dinasihat perlu berhati-hati bagi pemilihan kaunter.
Antara syarikat menjadi pilihan utama firma penyelidikan itu termasuk Johor Plantations Group, Sarawak Oil Palms, IOI Corp Berhad, London Sumtra Indonesia, SD Guthrie Berhad dan First Resources.- DagangNews.com








