KUALA LUMPUR 26 Ogos - Pengeluaran buah tandan segar (BTS) Sarawak Plantation Berhad diramal memuncak pada Oktober ini meskipun gangguan cuaca sebelum ini menjejaskan hasil tanaman kumpulan itu, kata penganalisis.
Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, keadaan cuaca kering sejak April lalu menyebabkan pengeluaran BTS merosot dalam dua bulan kebelakangan ini tetapi pengeluarannya diyakini pulih dalam masa terdekat.
"Pengeluaran BTS lemah sejak dua bulan lalu disebabkan cuaca kering yang menjejaskan penghasilan buah tetapi kini ia menunjukkan tanda-tanda pemulihan awal.
"Pengeluaran dijangka meningkat bermula Ogos dan mencapai kemuncaknya menjelang Oktober," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, pemulihan itu adalah sesuatu yang positif selepas kumpulan itu menurunkan unjuran pertumbuhan pengeluaran tahunannya sebanyak 5%, menjadikan sasaran baharu sebanyak 380,000 tan metrik bagi FY25.
Katanya, walaupun berdepan cabaran sementara, pelbagai penunjuk operasi menunjukkan perkembangan positif. Syarikat telah menjalankan proses penanaman semula seluas 1,600 hektar dalam separuh pertama tahun ini, manakala 1,000 hektar lagi telah diisytiharkan matang, menjadikan keluasan kawasan boleh tuai kini mencecah 20,000 hektar.
"Sarawak Plantation juga juga sedang giat melaksanakan aplikasi baja, dengan pusingan pertama telah selesai sepenuhnya dan pusingan ketiga dijangka menyaksikan peningkatan ketara menjelang akhir tahun.
"Ini berlaku dalam suasana peningkatan kos input serta kos buruh, namun kesan terhadap keuntungan keseluruhan dijangka minimum," katanya.
Firma penyelidikan itu menurunkan penarafan kepada "neutral" dengan harga sasaran (TP) RM2.68 sesaham.
Sementara itu, Phillip Capital mengurangkan unjuran ndapatan bagi tahun 2025 hingga 2027 antara 8% hingga 20% selepas menurunkan andaian pengeluaran BTS dan minyak sawit mentah (MSM).
Katanya, pengeluaran bagi tahun 2025 diunjur meningkat sebanyak 7% kepada 361,000 tan, disokong prestasi pengeluaran separuh kedua tahun 2025 yang secara bermusim lebih kukuh, selaras dengan nisbah pengeluaran 1H:2H pada tahun 2024 iaitu 44:56.
Pemulihan ini dijangka disokong oleh 1,000 hektar kawasan matang baharu serta keadaan cuaca yang menggalakkan.
"Selepas semakan semula pendapatan, kami menurunkan penarafan kepada "pegang" dengan TP lebih rendah iaitu RM2.64 sesaham," katanya. - DagangNews.com








