Pengeluaran buah tandan segar rendah, UOBKH anggar pendapatan IOI Corp lemah pada 3QFY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengeluaran buah tandan segar rendah, UOBKH anggar pendapatan IOI Corp lemah pada 3QFY25

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 April - IOI Corp Bhd dianggar mencatatkan pendapatan lebih lemah pada suku ketiga berakhir 31 Mac 2025 (3QFY25) disebabkan pengeluaran buah tandan segar (BTS) dan minyak sawit mentah yang lebih rendah secara bermusim.

 

UOB Kay Hian Research (UOBKH Research) berkata, pengeluaran bagaimanapun dilihat mula meningkat pada 4QFY25. 

 

“Walaupun IOI Corp mencatatkan penurunan sebanyak 4.4% dari tahun ke tahun bagi pengeluaran BTS pada 3QFY25, kami melihat tanda-tanda pengeluaran kembali meningkat sejak Januari 2025.

 

"Angka terkini bagi Mac 2025 menunjukkan pertumbuhan sebanyak 7% dan peningkatan bulanan sebanyak 19% berbanding Februari,” katanya dalam satu nota kajian.

 

IOI Corp dijadual mengumumkan keputusan kewangan bagi 3QFY25 pada 27 Mei 2025.

 

UOBKH Research mengunjurkan pendapatan teras bagi suku ini sekitar RM300 juta, iaitu penurunan 24% suku tahun ke suku tahun.

 

Firma penyelidikan itu berkata, penurunan itu berlaku berikutan pengeluaran BTS yang menyusut sebanyak 25% dari suku tahun ke suku tahun dan pengeluaran MSM merosot sebanyak 27%, walaupun harga jualan purata dijangka kekal setara.

 

“Harga dalam 3QFY25 dijangka kekal setara dengan 2QFY25, dengan harga pasaran purata bagi MSM dan isirung sawit masing-masing meningkat RM50 satu tan dan RM35 satu tan sepanjang suku tersebut,” katanya.

 

UOBKH Research berkata, pengeluaran dalam 4QFY25 dilihat berada di landasan pemulihan berdasarkan trend dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan output pada Mac meningkat.

 

“Untuk 4QFY25, anggaran kami menunjukkan pengeluaran BTS akan meningkat 9% kepada 700,000 tan berbanding 645,000 tan pada 4QFY24,” katanya.

 

“Trend dalam beberapa bulan kebelakangan ini sejajar dengan panduan pengurusan bahawa pengeluaran kumpulan akan memuncak satu hingga dua bulan lebih awal daripada biasa dalam tahun kewangan 2025 berbanding Jun pada tahun-tahun sebelum ini," katanya.

 

Firma penyelidikan  itu juga mengekalkan andaian margin operasi segmen hiliran FY25 pada 2%, sambil menyatakan, semakan semula duti eksport dan langkah-langkah levi di Indonesia dan Malaysia membawa risiko penurunan, tahun kewangan IOI yang berakhir pada Jun sedikit sebanyak membantu mengurangkan ketidakstabilan itu.

 

"Kami mengekalkan saranan “pegang” ke atas saham IOI Corp dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM3.70 sesaham.

 

"Kami percaya imbangan semasa untuk IOI Corp adalah saksama, memandangkan pendedahan terhad ladangnya terhadap harga MSM yang tinggi serta keterlihatan pendapatan yang terhad bagi perniagaan hiliran kumpulan,” katanya. - DagangNews.com