KUALA LUMPUR 4 Sept - Sektor perladangan dijangka mencatat hasil lebih kukuh pada separuh kedua 2025 (2H25) didorong pegeluaran buah tandan segar (BTS) lebih tinggi serta kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang semakin rendah.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, pengeluaran yang lebih tinggi itu disokong keadaan cuaca yang semakin baik serta peningkatan bermusim dalam hasil tanaman meskipun margin segmen hiliran kekal tertekan.
Katanya, walaupun terdapat risiko penurunan terhadap unjuran pengeluaran BTS pada 2025 untuk beberapa syarikat tetapi mereka kekal optimis terhadap pengeluaran yang lebih kukuh pada 2H25, disokong keadaan cuaca yang lebih kondusif serta corak penuaian bermusim yang lebih tinggi.
Firma penyelidikan itu menurunkan unjuran BTS mereka termasuk Hap Seng Plantations Holdings Berhad dan Genting Plantations Berhad berikutan hujan lebat berlebihan yang menjejaskan kerja penuaian pada awal 2025.
“Kos pengeluaran MSM dijangka berkurangan lagi pada 2H25, memandangkan tambahan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing serta kesan penuh kenaikan gaji minimum dijangka dapat diimbangi oleh pengeluaran BTS yang lebih tinggi dan harga baja yang relatif stabil berbanding 1H25.
“Prestasi hambar segmen hiliran dijangka berterusan sehingga 2H25, dibebani oleh perbezaan levi antara Malaysia dan Indonesia, di samping lebihan kapasiti di Indonesia yang terus menekan margin penapisan, serta kos bahan mentah yang tinggi ditambah dengan permintaan lemah dalam subsektor oleokimia," katanya dalam satu nota kajian.
Sehingga kini, purata harga MSM ialah RM4,342 setiap tan.
“Kami mengekalkan andaian harga MSM 2025–2026 masing-masing pada RM4,200 dan RM4,050 setiap tan, memandangkan corak penuaian bermusim yang lebih tinggi dijangka mengehadkan harga dalam tempoh terdekat,” kata HLIB.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “neutral” terhadap sektor ini, dengan merujuk kepada ketiadaan pemangkin penilaian semula harga MSM yang ketara dalam masa terdekat.
Untuk pendedahan, saham pilihan utamanya ialah Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) dengan harga sasaran RM24.65, dan SD Guthrie Berhad pada RM5.37 sesaham.
Pendapatan terkini mengukuhkan perbezaan antara operasi huluan dan hiliran. HLIB Research menekankan, pendapatan empat daripada tujuh syarikat perladangan di bawah liputannya – iaitu Genting Plantation, Hap Seng Plantation, Jaya Tiasa Holdings Berhad dan IOI Corp Berhad adalah sejajar dengan jangkaan, manakala KLK, SD Guthrie dan TSH Resources melepasi jangkaan.
Hasil yang lebih tinggi serta harga isirung sawit yang lebih kukuh menyokong prestasi huluan kebanyakan pemain, meskipun tidak semua memperoleh manfaat yang sama.
“Pengeluaran BTS yang lebih tinggi (didorong corak penuaian bermusim yang lebih tinggi dan keadaan cuaca yang lebih kondusif di Sabah) telah meningkatkan pendapatan huluan kebanyakan peladang (kecuali Hap Seng Plantation),” katanya. - DagangNews.com








