KUALA LUMPUR 26 Mei – Pengeluaran buah tandan segar (BTS) Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025 (FY25) dijangka lebih rendah daripada jangkaan awal susulan penyusutan hasil sepanjang tahun ini.
Hong Leong Investment Bank Research (HLIB) berkata, penurunan itu susulan semua wilayah operasi KLK terjejas akibat hujan lebat dalam tempoh lima bulan lalu.
Meskipun pengurusan kekal optimis pengeluaran akan pulih sebaik cuaca kembali normal, mereka turut memberi bayangan sasaran awal pengeluaran BTS sebanyak 6 juta tan atau pertumbuhan 9% adalah terlalu optimis berikutan prestasi negatif setakat ini.
Pengurusan KLK menjangkakan kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) kekal di bawah RM2,000 satu tan bagi FY25, lebih rendah berbanding RM2,390 satu tan pada FY24.
Ini disokong kos baja yang rendah dan pertumbuhan produktiviti, yang mengimbangi kenaikan kos buruh termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing.
KLK mencatatkan keuntungan bersih teras RM257 juta bagi suku kedua FY25, menjadikan jumlah separuh tahun kepada RM486 juta.
Syarikat menjangkakan prestasi segmen oleokimia yang lebih baik di Kesatuan Eropah (EU) dan China akan mengimbangi kelemahan dalam segmen penapisan yang berdepan lebihan kapasiti dan ketidaktentuan dasar biodiesel di Indonesia.
Prospek syarikat bersekutu 21.3% yang dimiliki Synthomer plc, turut dijangka bertambah baik disokong penyusunan semula operasi. Synthomer ialah syarikat kimia khusus tersenarai di London.
Sumbangan daripada segmen hartanah juga dijangka meningkat.
HLIB berkata, KLK memperuntukkan 1,011 hektar tanah ladang di Kulai, Johor untuk projek taman perindustrian, yang dijangka menjana pendapatan melalui jualan tanah dan pembangunan.
"Selain itu, pembinaan pusat beli-belah di Bandar Seri Coalfields seluas 337,181 kaki persegi dijangka siap awal 2026, sekali gus meningkatkan daya tarikan kawasan perbandaran KLK," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" ke atas saham KLK, namun menurunkan harga sasaran kepada RM22.20 sesaham.
Sementara itu, UOB Kay Hian mengekalkan saranan "pegang" dengan harga sasaran RM19, dan menjangka keuntungan KLK untuk suku ketiga FY25 masih disokong segmen perladangan.
Bagaimanapun, segmen hiliran dijangka mencatat kerugian operasi berikutan margin negatif perniagaan penapisan, manakala prestasi oleokimia turut terkesan oleh gangguan bekalan gas di Malaysia pada awal suku ketiga FY25 yang menjejaskan penghantaran pesanan jualan.- DagangNews.com








