KUALA LUMPUR 8 April - Pengeluar sarung tangan Malaysia dijangka mendapat manfaat sekiranya Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, melaksanakan ancamannya untuk mengenakan tarif tambahan sebanyak 50% terhadap barangan China sekiranya republik itu tidak menarik balik tarif balasnya.
CIMB Securities Sdn Bhd berkata, potensi tarif tambahan 50% tersebut boleh membawa kepada tiga senario berbeza, iaitu senario optimis, asas dan konservatif.
"Jika pentadbiran Trump meneruskan tarif tambahan 50% terhadap barangan import China, kami percaya ketiga-tiga senario ini memberi keuntungan kepada pengeluar sarung tangan Malaysia, kerana ia meningkatkan daya saing eksport Malaysia ke AS berbanding pengeluar dari China," katanya dalam satu nota kajian.
Malaysia menyumbang 45% kepada pasaran sarung tangan global pada 2024, diikuti oleh China dengan 28%.
Pandangan berkenaan dinyatakan berdasarkan senario Malaysia kini berdepan kadar tarif AS yang terendah iaitu 24% berbanding negara pengeluar sarung tangan utama lain iaitu China (34%), Vietnam (46%), Thailand (36%), Indonesia (32%) dan Kemboja (49%).
CIMB Securities berkata, walaupun tarif yang lebih tinggi terhadap sarung tangan China boleh mendorong permintaan AS terhadap sarung tangan Malaysia, kelebihan itu mungkin akan terjejas apabila pengeluar China beralih fokus ke pasaran lain, meningkatkan persaingan di pasaran bukan AS.
"Selain itu, kami menjangka pembeli AS akan mengambil pendekatan berhati-hati berikutan ketidaktentuan dasar dan turun naik kos, yang mungkin menyebabkan permintaan lebih lembap dan jumlah pembelian yang lebih rendah," ujarnya.
Firma penyelidikan tersebut juga mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor sarung tangan getah, memandangkan prospek jangka pendek yang lemah dan ketidaktentuan yang mengancam dalam persekitaran operasi sektor berkenaan.
"Pilihan utama kami adalah Kossan Rubber Industries Bhd (beli, harga sasaran RM1.20) dan Supermax Corporation Bhd (beli, harga sasaran RM1.05)," tambahnya. - DagangNews.com








