Pengeluar, pengilang tempatan digesa kawal kenaikan kos binaan elak harga hartanah melonjak – REHDA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengeluar, pengilang tempatan digesa kawal kenaikan kos binaan elak harga hartanah melonjak – REHDA

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Jan – Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menggesa pengeluar dan pengilang tempatan supaya kekal berwaspada terhadap peningkatan kos bahan binaan yang boleh menjejaskan kemampuan harga hartanah.

 

Presiden REHDA Malaysia Datuk Ho Hon Sang berkata adalah penting untuk memastikan kos bahan binaan kekal terkawal memandangkan kebanyakan bekalan diperoleh daripada pengeluar dan pengilang tempatan.

 

“Kebanyakan bahan yang digunakan untuk projek-projek asas diperoleh daripada sumber tempatan, namun semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa terdapat peningkatan kos bahan binaan yang akan memberi kesan kepada kemampuan harga produk akhir iaitu hartanah.

 

 

 

 

 

 

“Pengeluar atau pengilang tempatan perlu sangat berwaspada supaya kos dapat dikekalkan pada tahap terkawal. 

 

“Kami tidak mahu kos operasi yang tinggi memberi kesan kepada harga jualan akhir kepada pengeluar,” katanya kepada pemberita semasa pra pelancaran Siri CEO Institut REHDA 2026 hari ini.

 

Ho berkata kos pembinaan dijangka meningkat sekitar dua hingga tiga peratus tahun ini, dengan kira-kira separuh daripada peningkatan tersebut berkemungkinan akan dipindahkan kepada harga jualan.

 

“Bagaimanapun, tahap pelarasan harga bergantung kepada pemaju masing-masing, model perniagaan mereka serta kekuatan strategi jualan dan pemasaran.

 

“Ada pemaju yang mungkin memilih untuk menyerap sebahagian daripada peningkatan kos tersebut, manakala yang lain mungkin menaikkan harga sedikit, bergantung kepada jenis hartanah yang ditawarkan,” tambahnya.

 

 

 

 

 

 

 

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk melonggarkan syarat import sekiranya perlu bagi memastikan kos bahan binaan kekal rendah dan tidak membebankan rakyat.

 

Menurut Anwar, langkah tersebut akan dipertimbangkan sekiranya kenaikan harga oleh pemain industri terus memberi tekanan kepada kos pembangunan dan kos sara hidup.-- BERNAMA