Pengeluar cip Jerman, X-FAB labur RM3 bilion kembangkan operasi kilang di Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengeluar cip Jerman, X-FAB labur RM3 bilion kembangkan operasi kilang di Sarawak

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Sept - Pengeluar cip dari Jerman, X-FAB Silicon Foundries SE membuat pelaburan RM3 bilion bagi mengembangkan operasi kilangnya di Sarawak, sekali gus meningkatkan peranan negeri itu dalam rangkaian bekalan cip global.

 

Pengembangan itu meningkatkan kapasiti anak syarikatnya di Malaysia, X-FAB Sarawak Sdn Bhd daripada 30,000 kepada 40,000 wafer sebulan dengan kepakaran dalam cip termaju untuk aplikasi automotif, perubatan dan industri.

 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata pelaburan itu merupakan langkah penting dalam usaha Malaysia mengukuhkan kedudukannya dalam arena semikonduktor antarabangsa.

 

Beliau berkata, perkara itu mencerminkan keyakinan berterusan pelabur asing terhadap arah pembaharuan industri jangka panjang negara serta menyokong jenis perkongsian yang ingin dibina Malaysia.

 

“Kedua-dua kementerian dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memberi tumpuan menarik pelaburan berkualiti yang mewujudkan pekerjaan dan membangunkan kemahiran teknologi utama untuk rakyat Malaysia, bagi terus memacu inovasi dalam industri kita.

 

“Ia juga membawa kita lebih dekat kepada matlamat untuk menjadi hab utama dalam pembuatan berteknologi tinggi bagi mencapai aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara perindustrian bernilai tinggi dan berpendapatan tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, pengembangan itu merupakan kejayaan strategik bagi sektor semikonduktor Malaysia, dengan manfaat yang melangkaui lantai kilang.

 

“Pelaburan ini merupakan pemangkin kepada peningkatan sosioekonomi di Sarawak, mewujudkan kesan berganda yang memberi manfaat kepada komuniti tempatan.

 

“Kita bukan sahaja menarik pekerjaan bernilai tinggi, malah membina generasi baharu bakat mahir dan memperkasa perniagaan tempatan dalam rantaian bekalan.

 

“Inilah intipati strategi nasional kita, memastikan setiap pelaburan menjadi landasan kepada pertumbuhan inklusif dan kemakmuran bersama,” katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan X-FAB, Rudi De Winter berkata, barisan pembuatan baharu itu menggandakan kapasiti tapak tersebut untuk teknologi 180nm BCD-on-SOI yang popular.

 

“Saya amat berterima kasih atas sokongan berterusan daripada MIDA dan kerajaan Sarawak, yang membolehkan kami mencatatkan pencapaian penting ini demi kejayaan masa depan keseluruhan Kumpulan X-FAB,” katanya.

 

Barisan pengeluaran yang diperluas itu kini telah beroperasi dan akan memberi perkhidmatan kepada pelanggan global dalam pasaran automotif, industri dan perubatan, sekali gus mengukuhkan lagi nilai tambah Malaysia dalam pembuatan berteknologi tinggi.- DagangNews.com