Pengecualian tarif Trump bantu firma semikonduktor Malaysia kurangkan kesan kos pengeluaran cip - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengecualian tarif Trump bantu firma semikonduktor Malaysia kurangkan kesan kos pengeluaran cip - PublicInvest

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 4 April - Pengecualian Tarif Perdagangan Amerika Syarikat (AS), dijangka mengurangkan kesan langsung kos pengeluaran cip terhadap syarikat semikonduktor Malaysia.

 

Public Investment Bank Bhd (PublicInvest) bagaimanapun berkata, masih wujud ketidaktentuan tentang kenaikan kos barang lain contohnya sistem dan komponen bukan semikonduktor yang diimport dari negara-negara serantau lain.

 

"Kami menjangkakan tindakan balas dari China dan Kesatuan Eropah, sementara beberapa negara lain mungkin mengadakan rundingan dengan AS.

 

"Walaupun cukai hanya dikenakan ke atas pengeksport AS, kami percaya kos tambahan yang timbul daripada tarif timbal balik akan ditanggung oleh semua pihak dalam rantaian bekalan, termasuk pelanggan akhir," katanya dalam satu nota kajian.

 

PublicInvest menyatakan, Malaysia mempunyai kelebihan kos berbanding pesaing serantau dalam sektor pembuatan.

 

Sementara itu, katanya, tindak balas dari China mungkin mendorong pelaburan berkaitan teknologi lebih banyak ke Malaysia, memandangkan kadar cukai yang sederhana dan hubungan diplomatik yang kukuh dengan kedua-dua kuasa ekonomi utama tersebut.

 

"Dasar cukai itu juga mungkin menyebabkan pengeluar semikonduktor tempatan menangguhkan keputusan membabitkan pengeluaran dan membuat lebih banyak rundingan dengan AS.

 

"Ia berpotensi mencetuskan tindakan balas dari China dan Kesatuan Eropah, yang boleh memberi kesan kepada ekonomi global," ujarnya.

 

PublicInvest berkata, walaupun pengeluar mungkin akan mengalihkan pengeluaran dari negara yang dikenakan cukai tinggi seperti China, Bangladesh, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam, kadar cukai yang menguntungkan di Malaysia boleh menghalang aliran keluar pelaburan yang besar.

 

"Malaysia mempunyai kadar cukai yang lebih rendah berbanding negara-negara Asia Tenggara lain, yang mengurangkan kemungkinan pelaburan keluar dari negara ini," jelasnya.

 

Menurut PublicInvest, jika keadaan menjadi buruk dan permintaan dari AS berkurang, pengeluar mungkin tidak dapat menaikkan harga untuk menampung kos lebih tinggi. 

 

Sehubungan itu, PublicInvest mengekalkan penarafan 'overweight' terhadap sektor teknologi. - DagangNews.com