KUALA LUMPUR 8 Dis – Kira-kira 200,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dianggarkan bakal dikecualikan daripada pelaksanaan mandatori e-invois susulan keputusan kerajaan menaikkan ambang hasil tahunan kepada RM1 juta, menurut Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta).
Dalam kenyataan, Samenta berkata keputusan itu memberi kelegaan besar kepada segmen PKS mikro yang beroperasi dengan margin keuntungan yang kecil serta kekangan infrastruktur digital.
Presiden Samenta, Datuk William Ng berkata, sebahagian besar daripada 200,000 PKS yang terlibat masih belum bersedia untuk melaksanakan e-invois dalam tempoh terdekat.
“Banyak daripada perniagaan ini beroperasi dengan margin yang tipis dan tanpa sistem digital yang mencukupi. Pengumuman ini memberi ruang bernafas yang amat diperlukan ketika mereka berdepan peningkatan kos, ketidaktentuan tarif, persaingan semakin sengit daripada penjual dalam talian asing serta beban pematuhan lain yang tidak dijangka,” katanya.
Menurut beliau, pengecualian itu membolehkan perusahaan kecil menumpukan perhatian kepada penstabilan operasi, peningkatan produktiviti serta penambahbaikan proses dalaman, tanpa tekanan pelaksanaan segera.
“Langkah ini juga memastikan agenda pendigitalan negara dapat dilaksanakan secara lebih praktikal dan mampan, sejajar dengan realiti di peringkat akar umbi,” katanya.
Bagaimanapun, Ng menegaskan pengecualian itu bukan alasan untuk menangguhkan proses automasi dan pendigitalan dalam jangka panjang.
“Pemilik perniagaan perlu memanfaatkan tempoh peralihan ini untuk menambah baik amalan perakaunan, rekod kewangan dan secara berperingkat beralih kepada sistem digital,” katanya.
Samenta turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan atas keputusan tersebut.
“Syarikat merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan kerana mendengar suara komuniti PKS dan mengambil pendekatan seimbang yang menjaga daya tahan ekonomi serta kemajuan jangka panjang negara,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kabinet memutuskan untuk mengecualikan perniagaan dengan hasil tahunan bawah RM1 juta daripada pelaksanaan mandatori e-invois, yang sebelum ini dijadual bermula 1 Januari 2026 bagi kategori tersebut.
Sementara itu, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sebelum ini memaklumkan pelaksanaan e-invois bagi syarikat dengan hasil tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta telah ditangguhkan kepada 1 Januari 2026, daripada tarikh asal 1 Julai 2025. - DagangNews.com








