KUALA LUMPUR 5 Mei - Pengasas bersama Supermax Corp Bhd, Datuk Wira Cheryl Tan Bee Geok memfailkan saman terhadap RHB Bank Bhd dan tiga pegawainya atas dakwaan kecuaian dan/atau pelanggaran tanggungjawab dalam urusan pemindahan wang berjumlah RM1,325,700 secara salah daripada akaun bersama.
Dalam penyata tuntutan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Cheryl mendakwa RHB Bank dan pegawainya gagal mematuhi mandat nyata yang mengawal selia akaun bersama bank tersebut, bertindak bertentangan dengan prosedur perbankan yang ditetapkan, serta memudahkan satu transaksi tanpa kebenarannya.
Cheryl berkata, pelanggaran-pelanggaran tersebut merupakan kegagalan untuk melaksanakan tanggungjawab yang sewajarnya seperti yang diharapkan daripada institusi perbankan dan pegawainya, yang menyebabkan kerugian dan kerosakan kepadanya.
Sehubungan itu, beliau menuntut ganti rugi sebanyak RM15 juta daripada RHB dan pegawai-pegawainya.
Beliau dan Datuk Seri Stanley Thai Kim Sim adalah pemegang bersama satu akaun di RHB Bank yang memerlukan sebarang transaksi mesti mendapat kelulusan bersama daripada kedua-dua mereka.

Cheryl dan Stanley merupakan pengasas bersama syarikat sarung tangan, Supermax.
Katanya, dalam penyata bank yang diperoleh daripada RHB Bank, beliau mendapati terdapat satu debit berjumlah RM1,325,700 daripada akaun bersama itu.
Beliau meminta RHB menjalankan siasatan dan kemudiannya menulis surat kepada bank tersebut menyatakan, transaksi itu adalah penipuan yang tidak mendapat kebenarannya.
RHB Bank kemudian membalas, kelulusan transaksi tersebut merupakan "kesilapan tidak disengajakan oleh pihak bank" dan telah mengembalikan wang tersebut ke dalam akaun, yang sebelumnya telah dipindahkan ke satu akaun di Hong Leong Bank.
Cheryl berkata, reputasinya tercalar dan beliau berdepan tekanan emosi akibat daripada pelanggaran dan kecuaian oleh pihak bank – termasuk kebimbangan dan tekanan mental – daripada tekanan apabila menemui transaksi tanpa kebenaran itu serta keperluan untuk membantahnya.
Dalam pembelaan yang difailkan pada 30 April 2025, RHB menyatakan, beberapa langkah pengesahan telah dijalankan sebelum transaksi itu diproses.
Pihak bank dan pegawai-pegawainya telah memproses transaksi tersebut dengan jujur, amanah, munasabah, berhati-hati, berhemah, sewajarnya dan/atau dengan niat baik setelah, antara lain:
- Melakukan pengesahan biometrik dengan Stanley dan mengesahkan tandatangannya walaupun beliau hadir secara fizikal
- Menyedari transaksi tersebut adalah transaksi pihak pertama daripada akaun bersama RHB Bank milik Cheryl dan Stanley kepada akaun bersama mereka di Hong Leong Bank
- Mengesahkan permintaan penyata penebusan telah ditandatangani oleh kedua-dua Cheryl dan Stanley, berdasarkan mana Hong Leong Bank mengeluarkan penyata penebusan kepada kedua-dua mereka
- Memerhati jumlah dan tujuan transaksi adalah selaras dengan penyata penebusan
- Mendapatkan jaminan dan pengesahan daripada Stanley bahawa Cheryl mengetahui mengenai transaksi tersebut
Dimaklumkan oleh Stanley bahawa transaksi itu tidak boleh ditangguhkan bagi mengelakkan caj lewat dikenakan ke atas beliau dan Cheryl
RHB Bank menyatakan, pihaknya telah memberikan maklum balas terhadap permintaan Cheryl atau peguamnya berkenaan butiran transaksi tersebut tanpa sebarang kelewatan yang tidak wajar.
Sehubungan itu, pihak bank dan pegawai-pegawainya menafikan Cheryl mengalami sebarang kerugian, kemudaratan atau tekanan – sama ada dari segi kewangan, reputasi atau emosi seperti yang didakwa.
Pihak bank juga menafikan sebarang liabiliti terhadap Cheryl berhubung kerugian kewangan, kerosakan reputasi atau tekanan emosi yang didakwa atau dialami oleh beliau. - DagangNews.com








