KUALA LUMPUR 14 Julai – Penganjuran MyFintech Week 2025 (MyFW 2025), yang bakal berlangsung dari 4 hingga 7 Ogos ini, dijangka mengetengahkan agenda strategik sektor kewangan serantau seiring dengan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN.
Ia dianjurkan bersama oleh Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Institut Bank-Bank Bertauliah Asia (AICB), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Persatuan Fintech Malaysia (FAOM).
Bertemakan ‘Cipta Idea, Inovasi, Cipta Bersama: Membentuk Masa Depan Kewangan’, acara itu akan menjadi medan utama bagi penggubal dasar, pemimpin industri dan inovator teknologi untuk membincangkan kerjasama serantau serta penyelesaian kewangan masa hadapan.
Penganjur berkata, antara penceramah yang dijangka hadir termasuk Gabenor BNM, Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour; Pengerusi Eksekutif SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi; Ketua Pegawai Eksekutif Hong Kong Monetary Authority,Eddie Yue; Pengarah Urusan Monetary Authority of Singapore Chia Der Jiun, serta bekas Menteri Kewangan Greece, Dr Yanis Varoufakis.
“Tiga bidang tumpuan utama yang akan dibincangkan ialah kewangan untuk masa hadapan iaitu peranan teknologi seperti AI dan blockchain dalam membentuk sistem kewangan baharu serta pembinaan ekosistem aset digital yang selamat dan berdaya tahan melalui penyelarasan peraturan.
“Fokus kedua ialah kewangan seperti pembiayaan kewangan Islam, pembiayaan iklim serta program literasi kewangan yang menjurus kepada kesejahteraan komuniti.
“Seterusnya ialah kewangan untuk ekosistem berdaya tahan yang akan membincangkan mengenai keselamatan siber, daya tahan operasi dan pelaburan berimpak tinggi, termasuk pembangunan bakat digital dan usaha kolektif menangani penipuan kewangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MyFW 2025 dijangka memperkukuh hala tuju dasar dan pembangunan ekosistem kewangan di Malaysia, selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi hab kewangan serantau.
Acara itu juga akan memperkukuhkan lagi usaha keterangkuman kewangan serta merapatkan jurang digital melalui penglibatan aktif pelbagai pihak berkepentingan.
MyFW 2025 akan menampilkan beberapa acara alin seperti sesi hackathon dan libat urus berimpak tinggi berkatan AI, kesan kewangan terbuka dan pembiayaan mampan dalam memainkan peranan untuk memperkasa ekonomi digital serta membina sistem kewangan lebih inklusif dan berdaya tahan. - DagangNews.com








