KUALA LUMPUR 3 Sept – Sunway Bhd dijangka membuka potensi nilai yang besar menerusi penyenaraian unit penjagaan kesihatannya, Sunway Healthcare Holdings (SHH) pada suku pertama 2026 yang akan menarik minat daripada pelabur institusi, kata penganalisis.
Penganalisis berkata, kekurangan hospital tersenarai di Bursa Malaysia ketika ini memberi nilai unik kepada SHH yang akan menjadi pemangkin utama permintaan terhadap penyenaraian untuk menarik perhatian pelabur.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan “beli” dengan harga sasaran RM6 bagi saham Sunway, sambil menekankan tarikan berganda melalui kepelbagaian portfolio kumpulan itu.
Firma penyelidikan itu berkata, penyenaraian SHH memberi nilai tambahan kerana pemegang saham Sunway akan menerima agihan dividen dalam bentuk saham (dividend-in-specie).
“Kami melihat Sunway sebagai ‘dual-play’ melalui pemantapan nilai daripada penyenaraian SHH serta pemulihan kitaran sektor hartanah dan pembinaan, sekali gus meletakkannya sebagai proksi kesihatan dan proksi ekonomi domestik,” kata firma itu.
HLIB Research turut mengaitkan penyenaraian SHH dengan kemunculan sulung 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd, memandangkan kedua-duanya dijangka mempunyai apungan bebas (free float) terhad yang mampu mencetuskan premium kekurangan.
“SHH akan menjadi antara pengendali hospital tersenarai yang sangat terhad di Bursa Malaysia, memberikan nilai kelangkaan dalam pasaran yang kekurangan proksi penjagaan kesihatan,” katanya.
HLIB Research menilai SHH pada RM20.2 bilion berdasarkan gandaan 25 kali nilai perusahaan (EV)/Ebitda 2026, sekali gus berpotensi melayakkannya sebagai komponen FBM KLCI.
RHB Research turut mengekalkan saranan “beli” dengan harga sasaran RM5.81, sambil menyatakan struktur tawaran awam permulaan (IPO) Sunway adalah seimbang.
Ia menjangkakan Sunway boleh mengumpul RM640 juta daripada tawaran jualan, manakala SHH pula berpotensi memperoleh RM730 juta daripada terbitan baharu.
“Lebih penting lagi, pada pandangan kami, dana ini seharusnya digunakan untuk membiayai peluang strategik dalam pembangunan hartanah dan pelaburan hartanah supaya sebarang gangguan sementara terhadap keuntungan dapat dipulihkan dengan cepat selepas penyenaraian SHH,” kata RHB Research.
ARTIKEL BERKAITAN Sunway Healthcare bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 1Q26
Selain itu, TA Securities turut mengekalkan saranan “beli” dengan harga sasaran RM5.76, sambil menganggarkan nilai.ekuiti SHH pada RM19.3 bilion.
Firma penyelidikan itu berkata, premium penilaian dianggap wajar kerana pelan peluasan SHH yang menjangkau lebih 3,400 katil menjelang 2032.
Menurutnya, IPO itu boleh mengumpul RM640 juta untuk Sunway dan RM730 juta untuk SHH bagi membiayai pengembangan strategik.
Sebaliknya, MBSB Research mengambil pendekatan berhati-hati dengan menilai SHH pada RM16 bilion dan mengekalkan saranan “neutral” dengan harga sasaran RM5.06.
Firma itu memberi amaran terhadap risiko prestasi selepas SHH mencatatkan penurunan Ebitda sebanyak 21.8% pada separuh pertama 2025 berikutan kos awal hospital baharu.
Pada Jumaat lalu, Sunway mengumumkan cadangan penyenaraian SHH yang melibatkan pecahan saham, agihan dividen dalam bentuk saham, IPO dan penyenaraian di Bursa Malaysia.
Keseluruhan proses dijangka selesai pada suku pertama 2026. - DagangNews.com








