Penganalisis kekal berhati-hati dengan prospek sektor sarung tangan Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis kekal berhati-hati dengan prospek sektor sarung tangan Malaysia

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Penganalisis kekal berhati-hati terhadap prospek sektor sarung tangan Malaysia meskipun Amerika Syarikat telah memuktamadkan kadar tarif import sebanyak 19% ke atas produk dari negara ini.

 

CIMB Research mengekalkan saranan “neutral” terhadap sektor sarung tangan getah berikutan beberapa cabaran berterusan termasuk permintaan global yang masih lembap, corak pembelian yang konservatif, kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), kadar gaji minimum yang meningkat serta tekanan harga jualan purata (ASP) dalam pasaran yang terlebih bekalan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun Malaysia tidak lagi menikmati kelebihan tarif berbanding Thailand, Indonesia atau Kemboja, kadar 19% tersebut masih lebih rendah berbanding tarif ke atas Vietnam (20%) dan China (30%).

 

“Ini memberi sedikit kelebihan daya saing kepada Malaysia di pasaran AS. Kami jangkakan akan berlaku sedikit peningkatan dalam tempahan dari AS. 

 

“Namun, kadar tarif baharu tetap akan meningkatkan kos asas pembeli di AS yang mungkin mengehadkan aktiviti pembelian semula atau membawa kepada tahap inventori yang lebih rendah,” kata CIMB Research dalam nota kajiannya.

 

Firma itu turut menjangka pengeluar dari China dan Vietnam akan mengalihkan fokus pasaran ke luar AS pada harga yang lebih kompetitif, sekali gus menambah tekanan terhadap harga global.

 

Sektor sarung tangan yang pernah menjadi penyumbang utama kepada eksport perubatan negara kini berdepan cabaran struktur dan persaingan yang semakin sengit di peringkat global.

 

Sementara itu, Maybank Investment Bank Research pula kekal dengan saranan “negatif” terhadap sektor tersebut dan tidak mengubah unjuran pendapatannya buat masa ini.

 

“Kami menjangka keputusan kewangan yang akan datang kekal lemah, terutama disebabkan penyusutan nilai dolar AS berbanding ringgit,” kata  firma penyelidikan itu.- DagangNews.com