Penganalisis jangka Axis-REIT kekal momentum pendapatan didorong pengambilalihan, pajakan baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis jangka Axis-REIT kekal momentum pendapatan didorong pengambilalihan, pajakan baharu

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 25 April - Axis Real Estate Investment Trust (Axis-REIT) dijangka terus mencatat pendapatan stabil hasil pengambilalihan dan pajakan baharu serta pengurusan portfolio yang lebih baik.

 

Menurut penganalisis, syarikat pemilik aset pejabat dan industri itu mencatat prestasi kewangan suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1Q25) yang selari dengan jangkaan pasaran, hasil lonjakan pendapatan daripada kutipan sewa hartanah baharu.

 

Penganalisis turut memaklumkan, Axis-REIT menaikkan sasaran pengambilalihan hartanah untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25) kepada RM430 juta, berbanding sasaran asal RM300 juta.

 

Maybank Investment Bank Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Axis-REIT dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.01. 

 

Firma penyelidikan tersebut melihat Axis-REIT berada pada kedudukan kukuh untuk terus mendapat manfaat daripada permintaan berterusan terhadap ruang logistik dan industri, walaupun berdepan ketidaktentuan makroekonomi.

 

"Pengambilalihan baharu yang dijangka dalam masa terdekat dan pendapatan daripada pajakan baharu akan menjadi pemacu utama pertumbuhan," katanya dalam satu nota kajian.

 

CIMB Securities Research juga mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM2.13 dan menjangka portfolio hartanah yang lebih besar akan menyokong pertumbuhan pendapatan 8.4% tahun ke tahun bagi FY25, walaupun pertumbuhan suku ke suku dijangka kekal mendatar.

 

Katanya, selain fokus kepada kemudahan logistik dan perkilangan gred A yang terletak di lokasi strategik dan disewa kepada penyewa berkualiti untuk jangka panjang, Axis-REIT juga terbuka untuk melabur dalam aset pejabat, taman perniagaan dan industri.

 

"Potensi kenaikan tarif elektrik bermula 1 Julai 2025 juga dijangka memberi kesan minimum terhadap pendapatan, memandangkan 74% hartanah Axis-REIT disewakan kepada penyewa tunggal," ujarnya.

 

HLIB Research pula menjangkakan pertumbuhan pendapatan yang berterusan bagi FY25 dan mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran lebih tinggi iaitu RM2.06 berbanding RM1.92 sebelum ini.

 

Pertumbuhan berkenaan dijangka berpunca daripada sumbangan penuh selama setahun daripada pengambilalihan yang dibuat tahun sebelumnya. 

 

HLIB turut menyatakan bahawa trend syarikat multinasional yang mahu mempelbagaikan rantaian bekalan memberi kelebihan kepada REIT yang mengutamakan hartanah industri.

 

Axis-REIT juga telah menyelesaikan penempatan saham persendirian bernilai RM449.7 juta pada Oktober 2024, sekali gus menurunkan nisbah hutang kepada 33% dalam 1Q25 berbanding 38% pada 3Q24, mengukuhkan kewangan dan meningkatkan keupayaan pelaburan.

 

Kenanga Research pula menyatakan, nisbah hutang semasa memberi Axis-REIT ruang tambahan pembiayaan sekitar RM900 juta bagi pengambilalihan masa depan. 

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'market perform' terhadap saham tersebut dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.86. - DagangNews.com