KUALA LUMPUR 26 Sept - Langkah mengambil alih Lumileds International bersama rakan kongsi China, Sanan Optoelectronics berpotensi mengukuhkan prospek pertumbuhan Inari Amertron Berhad dalam segmen teknologi pencahayaan pada masa hadapan, kata MBSB Research.
Katanya, pegangan ekuiti dalam Lumileds membolehkan Inari terlibat secara langsung dalam perkembangan global syarikat tersebut, khususnya dalam bidang teknologi baharu seperti MicroLED yang muncul sebagai rumusan berpotensi tinggi bagi penghantaran data kecerdasasan buatan (AI) berkelajuan tinggi serta komunikasi optik berasaskan silikon fotonik (SiPh).
Firma penyelidikan itu berkata, selepas selesainya urus niaga itu, Inari dan Sanan juga bakal menyertai pakatan perlesenan antarabangsa diketuai pemain utama industri termasuk Nichia, ams Osram, Cree LED, Lumileds dan Toyoda Gosei.
Lumileds sendiri memiliki lebih daripada 5,700 paten meliputi teknologi penting dalam pencahayaan automotif, lampu kilat telefon pintar dan segmen pencahayaan premium.
"Menurut firma penyelidikan industri TrendForce, Lumileds berada dalam kelompok tujuh syarikat pembungkusan LED terbesar dunia.
"Ia menduduki tempat ketiga global dari segi hasil pencahayaan LED automotif, hanya di belakang ams Osram dan Nichia. Dalam pasaran lampu kilat telefon pintar pula, Lumileds merupakan sebahagian daripada rantaian bekalan Apple," katanya dalam satu nota kajian.
ARTIKEL BERKAITAN: Inari bersama syarikat China, Sanan beli Lumileds Belanda berharga RM1 bilion
MBSB Research berkata, pengurusan Inari optimis kelulusan pengawalseliaan yang diperlukan dapat diperoleh menjelang akhir tahun ini, sekali gus membuka jalan untuk penyempurnaan pengambilalihan tersebut pada suku pertama 2026.
"Bagaimanapun, jika urus niaga itu tidak menjadi kenyataan, Inari perlu mencari syarikat sasaran baharu, yang boleh melambatkan usaha kepelbagaian hasilnya daripada segmen frekuensi radio (RF)," katanya.
Walaupun prestasi kewangan Inari dijangka terkesan sementara waktu pada suku awal selepas pengambilalihan itu selesai, syarikat menekankan manfaat strategik jangka panjang adalah lebih besar, khususnya dalam mengurangkan kebergantungan terhadap RF serta menyokong hala tuju pertumbuhan baharu dalam teknologi pencahayaan dan semikonduktor.
Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, kadar penggunaan dalam segmen RF telah meningkat secara berterusan dan ia seiring dengan pelancaran model telefon pintar baharu daripada pelanggan utama syarikat.
Katanya, prestasi keseluruhan kumpulan banyak bergantung kepada prestasi perniagaan RF dan pada FY25, segmen berkenaan menyumbang hampir dua pertiga daripada hasil kumpulan.
"Margin keuntungan segmen itu adalah lebih stabil berbanding segmen lain," katanya,
MBSB Research mengekalkan saranan "neutral" dengan harga sasaran (TP) RM2.12 sesaham. - DagangNews.com








