Pengambilalihan 70% pegangan dalam Kumpulan HLL kukuh kehadiran Matrix Concepts di Selangor, kata MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengambilalihan 70% pegangan dalam Kumpulan HLL kukuh kehadiran Matrix Concepts di Selangor, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 April - Pengambilalihan 70% pegangan ekuiti dalam Kumpulan HLL diyakini mengukuhkan kedudukan Matrix Concepts Holdings Bhd dalam sektor hartanah di Selangor, kata MIDF Research.

 

Ketika ini katanya, kumpulan itu memiliki kehadiran yang kukuh di Negeri Sembilan dan Johor tetapi pendedahannya kepada pasaran Selangor adalah terhad.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pembangunan masa depan adalah melibatkan rumah teres, lot komersial dan pangsapuri.

 

"Impak pendapatan daripada pengambilalihan adalah terhad dalam tempoh terdekat namun pelancaran masa depan di Banting dan Sepang akan menyokong pertumbuhan jualan hartanah baharu," katanya dalam satu nota kajian.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Anak syarikat Matrix Concepts peroleh tiga syarikat bernilai RM77.9 juta

 

Terdahulu, kumpulan itu memeterai tiga perjanjian jual beli saham berasingan untuk cadangan pengambilalihan 50% pegangan dalam Horizon L&L Sdn Bhd, 100% pegangan ekuiti dalam Exoland Property Management Sdn Bhd dan 30% pegangan Horizon L&L (SEL) Snd Bhd untuk jumlah balasan tunai sebanyak RM77 juta.

 

Setelah selesai cadangan pengambilalihan, Matrix Concepts akan memiliki 70% kepentingan ekuiti dalam Kumpulan HLL.

 

Cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai pada suku kedua 2025.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Kumpulan HLL merupakan pemaju hartanah dengan projek tertumpu di Sepang dan Banting. Cadangan pengambilalihan adalah suntikan perniagaan hartanah Selangor oleh pemegang saham utama kepada Matrix Concepts.

 

Sebagai tambahan kepada projek pembangunan yang sedang dijalankan, Kumpulan HLL menandatangani perjanjian pada Oktober 2024 untuk pengambilalihan 25.33 hektar tanah pegangan bebas yang terletak di Bandar Mahkota Banting, Selangor berharga RM44 juta.

 

Nilai pembangunan kasar (GDV) daripada tanah baharu itu dianggarkan bernilai RM388 juta. - DagangNews.com