Pendapatan sektor teknologi diramal susut pada separuh kedua 2025 disebabkan kesan tarif, kata HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan sektor teknologi diramal susut pada separuh kedua 2025 disebabkan kesan tarif, kata HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Mei - Sektor teknologi Malaysia diramal mengalami penyusutan pendapatan pada separuh kedua 2025 (2H25) disebabkan permintaan mula berkurangan akibat kesan tarif, kata Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB).

 

Walaupun HLIB menjangkakan pendapatan akan kekal kukuh sehingga suku kedua 2025 (2Q25), ia memberi amaran, risiko semakin meningkat apabila sektor itu masuk ke separuh kedua tahun.

 

Katanya, unjuran konsensus bagi syarikat teknologi Malaysia masih mencerminkan pertumbuhan kukuh untuk 2025/2026, dengan sedikit semakan penurunan pendapatan setakat ini walaupun risiko makroekonomi semakin meningkat.

 

“Pada pandangan kami, ia mewujudkan potensi mengecewakan pada 2H25. Kami merasakan semakin lama isu tarif ini tidak diselesaikan sepenuhnya, semakin besar potensi kesan ekonomi negatif akibat ketidaktentuan yang berterusan sepanjang 2025.

 

“Kami menjangkakan semakan penurunan pendapatan oleh pihak konsensus bagi sektor ini pada 2H25, apabila kelemahan permintaan akibat kesan tarif mula dirasai, ditambah pula dengan pelarasan inventori pada 1H25,” katanya dalam satu nota kajian.

 

HLIB telah menjalankan lawatan lapangan bersama lapan syarikat teknologi/perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) di Pulau Pinang pada penghujung April 2025.

 

“Lawatan ke Pulau Pinang baru-baru ini mengukuhkan pandangan kami tentang kedudukan Malaysia sebagai penerima manfaat utama dalam usaha kepelbagaian rantaian bekalan yang sedang berlaku, dengan strategi China+1 kekal sebagai faktor sokongan, walaupun terdapat pengurangan ketegangan dalam perdagangan AS-China baru-baru ini," katanya.

 

Dengan jangkaan pendapatan yang mungkin menyusut bermula 2H25, firma penyelidikan itu mengekalkan penilaian "neutral" terhadap sektor ini.

 

Dalam kerangka kerja itu, HLIB memilih UWC Bhd (saranan: beli, harga sasaran: RM2.78) kerana pemacu pertumbuhan struktural yang jelas dan mengekalkan Frontken Corp Bhd (saranan: pegang, harga sasaran: RM4.00) serta Inari Amertron Bhd (saranan: pegang, harga sasaran: RM2.10) sebagai saham utama untuk dikumpul ketika berlaku penurunan harga.

 

“Hasil semakan tarif sektoral ke atas semikonduktor di bawah siasatan Seksyen 232 merupakan acara risiko utama yang perlu diperhatikan dalam masa terdekat,” tambahnya.- DagangNews.com