Pendapatan QL Resources dijangka terus kukuh namun kos tinggi hadkan pertumbuhan jangka sederhana - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan QL Resources dijangka terus kukuh namun kos tinggi hadkan pertumbuhan jangka sederhana - penganalisis

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Ogos –  QL Resources Bhd dijangka kekal mencatat pertumbuhan pendapatan dengan jualan meningkat, namun keuntungannya berisiko terjejas akibat kos yang tinggi dan margin tipis, kata penganalisis.

 

MBSB Research menjangkakan pemulihan QL Resources pada separuh kedua FY2026, disokong segmen utama dan tenaga bersih, tetapi unjuran jangka sederhana dijangka hanya sekitar 3% setahun hingga 2028.

 

Firma penyelidikan itu berkata, QL Resources Bhd memulakan tahun kewangan 2026 dengan prestasi bercampur apabila hasil suku pertama meningkat, namun keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATANCI) menyusut susulan tekanan kos dan margin yang lebih sempit.

 

“Kumpulan mencatatkan hasil RM1.72 bilion pada 1QFY26, meningkat 6% berbanding tempoh sama tahun lalu. Namun, PATANCI menurun 6.4% kepada RM100.6 juta, mewakili 20% daripada unjuran penuh tahun MBSB Research dan 21% daripada anggaran konsensus. 

 

“Tiada dividen diisytiharkan bagi suku ini, sejajar dengan amalan syarikat yang lazimnya membuat pembayaran pada suku berikutnya.

 

“Pertumbuhan hasil disokong oleh segmen minyak sawit dan tenaga bersih (POCE), kedai serbaneka (CVS) FamilyMart serta penternakan bersepadu. POCE mencatat pertumbuhan kukuh 27% tahun ke tahun, didorong penghantaran projek tenaga bersih yang lebih tinggi serta operasi minyak sawit yang stabil,” kata MBSB Research dalam nota penyelidikannya.

 

QL Resources mencatatkan peningkatan segmen kedai serbaneka sebanyak 6.2% hasil daripada pertambahan 47 cawangan baharu FamilyMart dan 48 premis bersaiz kecil, walaupun jualan setiap kedai kekal terjejas akibat sentimen pengguna yang lemah. 

 

Segmen penternakan bersepadu QL Resources turut berkembang 6% disokong dagangan bahan mentah makanan ternakan dan peningkatan hasil ladang.

 

Bagaimanapun, pembuatan produk marin merosot 3% berikutan penurunan jumlah dan harga tepung ikan walaupun surimi dan akuakultur mencatat sumbangan stabil.

 

Dari sudut keuntungan, MBSB Research berkata, margin yang lebih sempit menekan prestasi kumpulan apabila keuntungan sebelum cukai menurun 4.3% kepada RM146.7 juta.

 

“Segmen ternakan menyusut 8.6% susulan harga ladang yang rendah dan pengurangan subsidi telur di Malaysia, manakala keuntungan kedai serbaneka berkurangan 7.9% akibat kenaikan gaji minimum serta kos sewa. Keuntungan pembuatan produk marin turut merosot 6% disebabkan jualan dan harga tepung ikan yang lebih rendah,” katanya.

 

MBSB Research mengekalkan saranan ‘Neutral’ dengan harga sasaran RM4.33, sambil menyifatkan prospek QL kekal berdaya tahan menerusi permintaan stabil dalam segmen teras serta projek tenaga bersih. 

 

Dalam pada itu, CIMB Securities pula menyatakan bahawa keuntungan bersih teras QL sebanyak RM101 juta hanya mewakili 21% daripada unjuran penuh tahun dan konsensus Bloomberg dengan kelemahan utama berpunca daripada MPM dan CVS yang terjejas oleh inflasi kos serta sentimen pengguna yang lembap.

 

Bagi prospek, CIMB menjangkakan momentum pendapatan akan lebih kukuh pada separuh kedua FY26, dipacu pemulihan MPM daripada asas rendah, pertumbuhan berterusan POCE berikutan permintaan solar di bawah Pelan Peralihan Tenaga Nasional, serta jualan di kedai serbaneka yang lebih baik dengan sokongan pemberian tunai kerajaan tidak lama lagi.

 

Segmen ternakan bersepadu pula dijangka kekal tertekan akibat penghapusan subsidi telur, namun bekalan lebih tinggi, pelarasan harga dan pengukuhan ringgit yang mengurangkan kos makanan ternakan dijangka membantu mengimbangi margin.

 

CIMB Securities mengekalkan penarafan ‘Hold’ tetapi menurunkan harga sasaran kepada RM4.50 daripada RM4.85, dengan unjuran pertumbuhan keuntungan Kadar Pertumbuhan Tahunan Berganda (CAGR) tiga tahun yang sederhana pada kadar 3% sehingga FY28, berikutan jualan yang perlahan dan tekanan kos yang berterusan.- DagangNews.com