Pendapatan Poh Huat diramal merosot disebabkan tekanan inflasi, kenaikan kos - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan Poh Huat diramal merosot disebabkan tekanan inflasi, kenaikan kos - PublicInvest

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Jun - Pendapat Poh Huat Resources Holdings Berhad diramal mersosot disebabkan tekanan inflasi, kenaikan kos serta pengukuhan nilai ringgit memandangkan Amerika Syarikat (AS) merupakan pasaran eksport utama kumpulan itu.

 

Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, keadaan itu diburukkan lagi dengan strategi tunggu dan lihat pelanggan selepas mereka membuat pesanan awak seblum pelaksanaan tarif yang lebih tinggi.

 

"Kami menyemak turun unjuran pendapatan kumpulan antara 20%-50% bagi FY25 hingga FY27 selepas mengambil kira tekanan inflasi yang berterusan, kenaikan kos operasi serta ketidaktentuan perdagangan global susulan pelaksanaan tarif import oleh AS.

 

"Bagaimanapun, pesanan perabot pejabat dijangka menunjukkan sedikit pemulihan pada suku akan datang, memandangkan beberapa pelanggan telah mengesahkan pesanan dan sedang mempercepatkan penghantaran dalam tempoh penagguhan tarif selama 90 hari," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, kumpulan itu hanya mencatatkan untung bersih sebanyak RM575,000 pada suku kedua berakhir 30 April 2025 (2QFY25) berbanding RM7.23 juta sebelum ini dan ia merupakan prestasi terburuk syarikat sejak 4QFY24, apabila ia mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM3.54 juta.

 

Perolehan suku tahunan merosot sebanyak 9.24% kepada RM98.33 juta berbanding RM108.35 juta pada 2QFY24.

 

Syarikat itu menyatakan, penurunan disebabkan pengurangan pesanan perabot pejabat dari operasinya di Malaysia, kerana beberapa pelanggan telah membuat pesanan lebih awal dalam tempoh kewangan sebelumnya susulan pemilihan Donald Trump sebagai presiden AS.

 

Penghantaran dari kilang syarikat di Vietnam bagi perabot rumah juga kekal rendah, dengan beberapa pelanggan dari AS menangguhkan pesanan pada April berikutan pelaksanaan tarif import oleh AS.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) 90 sen, lebih rendah berbanding RM1.16 sesaham.- DagangNews.com