KUALA LUMPU6 6 Jan – Sektor media tradisional di Malaysia terus menghadapi tekanan apabila pengiklan semakin beralih kepada saluran digital, terutamanya media sosial dan enjin carian, menurut Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu berkata trend ini didorong oleh peningkatan penglibatan media sosial serta keutamaan pengiklan terhadap pembelian iklan secara terancang yang berasaskan data.
Kenanga berkata berdasarkan data MAGNA, media digital menyumbang 77 peratus daripada jumlah perbelanjaan iklan di Malaysia pada 2024, dengan media sosial menyumbang 41 peratus, carian 24 peratus dan saluran digital lain 12 peratus.
“Jumlah perbelanjaan iklan dijangka meningkat 6.4 peratus pada 2025 kepada RM9.54 bilion, didorong oleh pertumbuhan media sosial sebanyak 11 peratus dan pengiklanan carian 8 peratus, yang dijangka mengimbangi penurunan berterusan dalam media tradisional seperti TV, media cetak dan radio.
“Dalam tempoh yang panjang, MAGNA menjangka media digital akan menguasai 85 peratus pasaran iklan menjelang 2029, manakala televisyen akan menyusut kepada lima peratus,” kata Kenanga.

Pemain media tradisional seperti Media Prima dan Astro telah melabur dalam platform digital, melalui REV Media dan KULT bagi menambah kehadiran digital mereka.
Media Prima kini mempunyai 140 juta pengikut media sosial dan 3.5 bilion tontonan video, tetapi sumbangan iklan digital hanya 11 peratus daripada pendapatan 1QFY26.
Astro melalui KULT pula menyumbang hanya 2 peratus daripada jumlah perbelanjaan iklan kumpulan dalam 9MFY26.
Kenanga Research meramalkan jumlah keseluruhan perbelanjaan iklan di Malaysia untuk tahun kewangan 2025 akan mencapai RM4.86 bilion.

“Walaupun terdapat pertumbuhan pada segmen iklan digital moden seperti media sosial dan pengiklanan carian, pendapatan iklan bagi media tradisional dan beberapa jenis media digital lama dijangka terus menurun.
“Ini termasuklah TV percuma, iklan banner dan video terbina dalam di laman web lama, surat khabar, majalah, serta pawagam.
“Penurunan ini menunjukkan bahawa media tradisional masih menghadapi cabaran besar dalam mengekalkan pengiklan di tengah-tengah peralihan industri ke arah digital,” katanya.
Pendapatan iklan menurun kerana media tradisional kalah dalam persaingan dengan syarikat digital moden yang lebih cekap, selain perlu menanggung kos operasi lama yang tinggi seperti menara TV, sewa transponder satelit, kilang percetakan dan rangkaian pengedaran fizikal.
Dalam konteks ini, Kenanga Research mengekalkan penarafan Underweight untuk sektor media, menandakan keuntungan masih tertekan dan sektor ini kurang menarik untuk pelabur buat masa ini.
Kenanga menegaskan transformasi radikal diperlukan, termasuk penggabungan dan pengambilalihan, pelupusan perniagaan bukan teras, atau peralihan menyeluruh ke arah pemilikan kandungan digital yang berskala besar.
Data syarikat menunjukkan prestasi bercampur dalam kalangan pemain media utama.
Astro, Media Prima, STAR Media dan Media Chinese International mencatatkan EPS rendah atau negatif dengan pertumbuhan keuntungan terhad, menunjukkan cabaran berterusan dalam menghadapi persaingan digital. - DagangNews.com








