Pendapatan Matrix Concepts diunjur meningkat selepas proses pengambilalihan saham HLL Group selesai - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan Matrix Concepts diunjur meningkat selepas proses pengambilalihan saham HLL Group selesai - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 April — Pendapatan Matrix Concepts Holdings Berhad diunjur meningkat selepas proses pengambilalihan saham daripada HLL Group berjumlah RM77.9 juta selesai pada pertengahan 2025, kata RHB Research. 


Firma penyelidikan tersebut berkata, ia mengambil pendirian berkecuali terhadap pengambilalihan terkini itu kerana percaya profil risiko perniagaan Matrix Concepts akan boleh berubah secara beransur-ansur pada masa hadapan.


Perkembangan berkenaan berdasarkan kedudukan syarikat tersebut yang telah pun bertapak kukuh di Negeri Sembilan, serta jualan hartanah dan hasil margin keuntungan diperoleh daripada proses perbandaran Sendayan adalah konsisten.


"Kami tidak membuat perubahan pada ramalan pendapatan kumpulan berkenaan buat masa ini kerana sumbangan awal sepatutnya agak minimum," kata firma itu dalam nota kajian yang merujuk tiga perjanjian jual beli saham terbabit.


Anak syarikat milik penuhnya, MCHB Development (KV) Sdn Bhd, memeterai perjanjian itu secara berasingan bagi pengambilalihan 50 peratus ekuiti Horizon L&L Sdn Bhd (HLLSB) daripada empat penjual dengan harga tunai RM48.5 juta.


Ia turut melibatkan pengambilalihan penuh Exoland Property Management Sdn Bhd, daripada lima penjual dengan tunai RM19.4 juta dan pembelian 30 peratus ekuiti Horizon L&L (SEL) Sdn Bhd daripada Valour Rock Sdn Bhd berharga RM10 juta.


RHB Research berkata, selepas pengambilalihan tersebut, pendedahan Matrix Concepts kepada pasaran hartanah Lembah Klang akan berada pada kadar 10 peratus daripada jumlah baki nilai pembangunan kasar (GDV) kawasan berkenaan.


"Pasaran di sini lebih berdaya saing pada pandangan kami, dan kami memahami bahawa pihak pengurusan juga berhasrat mengekalkan kehadiran di kawasan Sepang dan Banting apabila HLL Group berkembang dalam jangka panjang," katanya.


Berdasarkan situasi berkenaan, firma penyelidikan tersebut masih lagi mengekalkan saranan 'beli' terhadap Matrix Concepts dengan harga sasaran pula diunjurkannya kepada RM1.72 sesaham yang lebih rendah berbanding RM1.81 sebelum ini.


Ia turut meramalkan prospek pertumbuhan kumpulan berkenaan sebagai menaik kepada 35 peratus dengan hasil pendapatan dijangka boleh bertambah sebanyak lapan peratus. - DagangNews.com