KUALA LUMPUR 2 Okt - Pendapatan Kim Loong Resources Berhad diramal lebih kukuh pada suku berikutnya disokong pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi, harga yang lebih baik serta margin perladangan yang kukuh sepanjang musim penuaian puncak.
Apex Securities berkata, hasil buah tandan segar (BTS) kumpulan meningkat 6% kepada 86,942 tan berbanding 81,894 tan pada suku kedua berakhir 31 Julai 2025 (2QFY26).
Firma penyelidikan itu berkata, pengambilan BTS untuk operasi kilang dijangka kekal mampan pada 1.6 juta tan, dipacu kadar penggunaan kapasiti yang tinggi.
"Kami menjangkakan dividen tambahan sebanyak 10 sen sesaham akan diisytihar pada separuh kedua tahun kewangan berakhir 31 Januari 2026. Dengan itu, jumlah dividen bagi tahun kewangan 2026 (FY26) boleh mencecah 15 sen sesaham, bersamaan dengan hasil dividen 6.4% berdasarkan harga saham semasa RM2.33.
"Bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 (1H26), keuntungan bersih terkumpul kumpulan meningkat sedikit sebanyak 1.3% tahun ke tahun kepada RM89.1 juta. Hasil pula meningkat 6.7% tahun ke tahun kepada RM847.9 juta, dipacu terutamanya oleh pengeluaran yang lebih tinggi dan harga lebih kukuh," katanya dalam satu nota kajian.
Apex Securities mengekalkan saranan “pegang” dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM2.10 sesaham.
Bagaimanapun, ia turut memberi amaran, kumpulan itu berdepan risiko daripada peraturan lebih ketat Kesatuan Eropah (EU), perubahan cuaca, cukai dan duti eksport di Indonesia yang boleh menjejaskan bekalan global, kekurangan tenaga kerja serta peningkatan kos operasi.
Sementara itu, TA Securities mengekalkan pandangan berhati-hati terhadap harga MSM kerana harga kacang soya global dijangka terus tertekan akibat bekalan berlebihan dari Amerika Selatan, meskipun permintaan biofuel yang kukuh memberi sedikit sokongan.
Firma penyelidikan itu berkata turun naik boleh berlaku akibat perubahan cuaca dan dasar perdagangan, khususnya tarif China-AS, yang berpotensi menjejaskan daya saing serta permintaan CPO dalam pasaran minyak sayuran global.
“Kami mengekalkan harga sasaran RM2.31 sesaham, berdasarkan 15 kali unjuran pendapatan sesaham tahun kewangan 2026.
“Namun, kami menurunkan penarafan saham ini kepada "jual" daripada "pegang" memandangkan potensi kenaikan adalah terhad pada paras semasa.
"Walaupun prestasi operasi kekal stabil dan pembayaran dividen konsisten, kami percaya penilaian semasa telah mengambil kira faktor positif jangka pendek, sekali gus mengehadkan potensi penarafan semula,” katanya. - DagangNews.com








