Pendapatan Karex dijangka berkembang mulai FY27 hasil peningkatan skala pengeluaran kondom nitril - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan Karex dijangka berkembang mulai FY27 hasil peningkatan skala pengeluaran kondom nitril - RHB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Karex Bhd dijangka mencatatkan pengembangan margin yang ketara mulai tahun kewangan 2027 (FY27), didorong peningkatan skala pengeluaran kondom nitril, kenaikan harga jualan purata (ASP) serta kos bahan mentah yang semakin normal.

 

Menurut RHB Research, FY27 dilihat sebagai titik perubahan struktur bagi pengeluar kondom terbesar dunia itu, dengan peningkatan skala pengeluaran kondom nitril dijangka lebih ketara pada separuh kedua tahun kewangan.

 

Kumpulan menyasarkan pelancaran produk kondom nitril di sembilan negara tambahan termasuk pasaran Amerika Latin dan China, dengan pelancaran di China tertakluk kepada kelulusan tepat pada masanya daripada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan China (CFDA).

 

Pada masa sama, jualan kondom nitril melalui saluran produk berjenama sendiri (OBM) juga dijangka bermula, manakala tiga lagi barisan pengeluaran nitril kini dalam proses pengesahan dan dijangka mula beroperasi sepanjang FY27.

 

Ini akan meningkatkan jumlah keseluruhan barisan pengeluaran nitril Karex kepada 12.

 

Firma penyelidikan itu berkata, masih terdapat ruang untuk peningkatan harga jualan purata (ASP) pada FY27 memandangkan kenaikan harga antara 5% hingga 15% masih belum diterjemahkan sepenuhnya dalam keputusan 4QFY26.

 

“Peningkatan terkumpul dijangka mencapai 20% hingga 30% berbanding ASP pada awal FY25. Digabungkan dengan kos bahan mentah yang semakin normal, kami menjangkakan pengembangan margin yang ketara mulai FY27,” katanya dalam nota penyelidikan.

 

Kerugian FY26 RM7.1 juta

Sementara itu, Karex mencatatkan keuntungan utama RM3.8 juta bagi 4QFY26, termasuk bayaran balik tarif Akta Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa (IEEPA) sebanyak AS$2.1 juta.

 

Tanpa mengambil kira bayaran balik tersebut, suku berkenaan masih mencatatkan kerugian RM4.6 juta, menjadikan kerugian FY26 sebanyak RM7.1 juta berbanding unjuran kerugian RM8 juta.

 

Firma penyelidikan itu menyifatkan keputusan tersebut secara amnya selaras dengan jangkaan dan mengekalkan saranan ‘Beli’ bagi Karex dengan harga sasaran RM0.56 sesaham, yang menawarkan potensi kenaikan sekitar 11% serta hasil FY27F kira-kira 2%.

 

Karex turut mengisytiharkan dividen interim sebanyak 0.5 sen sesaham, menjadikan jumlah dividen sesaham bagi FY26 kepada 1 sen, tidak berubah berbanding FY25.

 

Dari segi operasi, hasil 4QFY26 merosot 4.2% secara suku ke suku susulan gangguan logistik dan peningkatan kadar tambang yang menyebabkan kelewatan penghantaran.

 

Namun, jualan produk berjenama sendiri (OBM) meningkat 25% secara suku ke suku, mengatasi penurunan 19% dalam segmen komersial dan membantu meningkatkan margin keuntungan kasar (GPM) sebanyak 3 mata peratusan kepada 30% hasil campuran produk yang lebih menguntungkan.

 

Bagi FY26, GPM dinormalkan termasuk bayaran balik tarif berada pada 30.8%, hampir sama dengan 31.0% pada FY25 walaupun berdepan hasil lebih rendah, kelemahan dolar AS berbanding ringgit dan baht Thailand, gangguan logistik serta kos bahan mentah yang tinggi.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan harga sasaran RM0.56, termasuk premium ESG sebanyak 4%, manakala nisbah P/E sasaran CY27 sebanyak 17.5 kali mewakili diskaun sekitar 9% berbanding syarikat setara.

 

Katanya, potensi kenaikan selanjutnya bergantung kepada kejayaan pengkomersialan produk nitril serta keupayaan Karex untuk memindahkan kenaikan ASP kepada pelanggan.

 

Antara risiko penurunan utama termasuk penerimaan pelanggan terhadap produk baharu yang lebih rendah daripada jangkaan, pergerakan kadar pertukaran asing, perubahan dasar perdagangan global yang tidak menguntungkan serta tekanan terhadap margin. - DagangNews.com