KUALA LUMPUR 29 Mei - Pendapatan IOI Corp Bhd diramal kembali normal pada suku keempat disebabkan trenda harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih lemah, kata penganalisis.
Keputusan suku ketiga kumpulan bagi tahun kewangan 2025 (3QFY25) disokong prestasi bahagian huluannya, yang menyumbang lebih 90% daripada jumlah keuntungan operasi kumpulan untuk FY25–FY27.
MIDF Research berkata, sebarang trend menaik dalam trajektori harga MSM dijangka memberi kesan positif kepada pendapatan kumpulan dan seterusnya kepada prestasi sahamnya.
Katanya, margin huluan kumpulan kekal berdaya tahan melebihi 30% disokong kos pengeluaran yang relatifnya lebih rendah berbanding rakan seindustri yang dianggarkan antara RM1,900 hingga RM2,100 setiap tan.
“Kami mengekalkan anggaran pendapatan terhadap IOI buat masa ini, memandangkan keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti kumpulan bagi 3QFY25 sebanyak RM279.1 juta – turun 24.5% suku-ke-suku, naik 14% tahun-ke-tahun – adalah dalam jangkaan,” katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, untung bersih kumpulan pada 3QFY25 meningkat kepada RM262.3 juta daripada RM123.1 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya dengan hasil meningkat 11.1% kepada RM2.74 bilion, berbanding RM2.46 bilion pada 3QFY24.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM4.42 sesaham.
Sementara itu, CIMB Securities menjangkakan kumpulan itu akan mencatatkan pendapatan suku-ke-suku yang lebih kukuh pada 4QFY25, disokong peningkatan pengeluaran dan prestasi hiliran yang bertambah baik.
“Kami mengekalkan saranan "beli", kerana kami percaya pendapatan IOI mungkin telah mencapai tahap terendah pada FY24 dan dijangka pulih pada FY25–FY26, disokong oleh harga MSM yang lebih tinggi dan peningkatan prestasi bahagian hiliran,” menurut laporan itu.
Selain itu, firma penyelidikan tersebut lebih menyukai IOI kerana pendedahannya yang lebih rendah terhadap risiko peraturan di Indonesia berbanding rakan seindustri berskala besar.
“Penggearan bersih IOI yang rendah pada kadar 13.8% menunjukkan ia mungkin mempunyai keupayaan yang lebih besar untuk menjalankan aktiviti penggabungan dan pengambilalihan berbanding rakan-rakan perladangan berskala besar,” katanya.
Firma itu berkata, IOI menjangkakan harga MSM akan berada dalam lingkungan RM3,700 hingga RM4,000 setiap tan sehingga akhir Jun.- DagangNews.com








