Pendapatan Hibiscus Petroleum diunjur positif didorong lanjutan kontrak baharu - BIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan Hibiscus Petroleum diunjur positif didorong lanjutan kontrak baharu - BIMB Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 April - BIMB Securities positif terhadap lanjutan kontrak Hibiscus Petroleum Bhd diyakini memberikan keterlihatan pendapatan melebihi tarikh tamat asal pada akhir 2027.

 

Katanya, kumpulan itu baru-baru ini memeterai perjanjian dengan Petronas dan Vietnam Oil and Gas bagi meneruskan Kontrak Perkongsian Pengeluaran Kawasan Pengaturan Komersial PM3 (PM3 CAA PSC) dan Perjanjian Jualan Gas Huluan (UGSA) selama 20 tahun bermula 1 Januari 2028.

 

“Ini penting untuk membolehkan rancangan Hibiscus membangunkan sumber gas di sekitar Kluster PSC PKNB dengan menggunakan infrastruktur sedia ada PM3 CAA.

 

"Rizab 2P dan sumber 2C tambahan dapat dibuka tanpa sebarang kos pembelian susulan lanjutan kontrak tersebut,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Kluster PSC PKNB merangkumi empat medan gas yang telah ditemui, iaitu Pertang, Kenarong, Noring dan Bedong, yang terletak di perairan cetek di luar pantai timur Semenanjung Malaysia.

 

BIMB Securities yakin, lanjutan itu diberikan bagi membolehkan penubuhan Pelan Induk Hab PM3 yang menyasarkan untuk menjana pendapatan daripada sumber gas dalam kawasan tersebut bagi projek penjanaan kuasa gas-ke-tenaga di rantau ini.

 

Katanya, aset itu mempunyai sumber gas 2C yang besar berjumlah 47.3 juta tong setara minyak (boe) dengan lesen tamat pada 2048.

 

“Selain itu, hab itu juga akan merangkumi PM327 PSC yang merupakan blok penerokaan terbesar di luar pesisir Malaysia Barat,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu menyemak semula unjuran pendapatan FY25, FY26 dan FY27 kepada RM331 juta, RM515 juta dan RM430 juta masing-masing selepas menyelaras anggaran harga minyak turun sebanyak AS$5 setong.

 

“Bagaimanapun, kami menjangkakan pendapatan kumpulan kekal kukuh kerana jumlah jualan dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 9% dalam tempoh FY24-FY27 kepada 10.2 juta boe daripada 7.9 juta boe (yang sebahagian besarnya didorong peningkatan jualan gas dari medan Block B MLJ di Brunei),” katanya.

 

BIMB Securities mengekalkan saranan “beli” ke atas Hibiscus dengan harga sasaran (TP) lebih rendah sebanyak RM2.72 berbanding RM3.20 sebelum ini. - DagangNews.com