Pendapatan Glomac dijangka pulih disokong pelancaran projek baharu RM324 juta pada FY26, kata TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan Glomac dijangka pulih disokong pelancaran projek baharu RM324 juta pada FY26, kata TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Sept - Glomac Berhad berpotensi mencatat pemulihan pendapatan pada suku tahun akan datang, dipacu pelancaran projek baharu bernilai RM324 juta pada tahun kewangan 2026 (FY26), kata TA Securities.

 

Selain itu katanya, keadaan itu akan turut disokong tambahan projek bernilai RM154 juta yang dilancarkan pada 4QFY25.

 

Firma penyelidikan itu berkata, rancangan pelancaran projek baharu itu dijangka meningkatkan hasil jualan dan menyokong pemulihan keuntungan selepas kumpulan itu mencatatkan kelembapan pada 1QFY26.

 

"Setakat akhir Julai 2025, jualan belum dibilkan Glomac berjumlah RM566 juta, sedikit susut daripada RM575 juta pada suku sebelumnya, namun masih mampu memberi jangkaan pendapatan 12 hingga 18 bulan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, hasil Glomac pada 1QFY26 jatuh 64.4% tahun ke tahun kepada RM26.05 juta berbanding RM73.29 juta, terutamanya disebabkan sumbangan lebih rendah daripada fasa pembangunan yang masih di peringkat awal.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Glomac rugi bersih RM1.42 juta pada 1QFY2026

 

Hasil pembangunan hartanah merosot 71.3% kepada RM19.17 juta, manakala pendapatan pelaburan hartanah meningkat 3% kepada RM6.55 juta.

 

Bagaimanapun, margin keuntungan kasar Glomac meningkat kepada 34.3% berbanding 30.9% pada suku sama tahun lalu.

 

Peningkatan itu didorong sumbangan lebih tinggi daripada projek dengan margin besar seperti rumah kedai di Saujana Perdana dan rumah berkembar separa KEYS di Lakeside Residences.

 

TA Securities berkata, kumpulan itu juga sednag giat meneroka peluang pembelian tanah baharu di Lembah Klang dan Johor, dengan fokus kepada pembangunan perbandaran dan projek kediaman bertingkat tinggi. 

 

Katanya, dengan kedudukan tunai bersih sebanyak RM8 juta, Glomac berada dalam kedudukan kewangan yang kukuh untuk merebut peluang tersebut.

 

TA Research mengekalkan saranan “beli” terhadap Glomac dengan harga sasaran (TP) 40 sen sesaham, berdasarkan nisbah harga kepada nilai buku 0.25x bagi FY26. - DagangNews.com