Pendapatan FY26, FY27 Yinson Holdings dijangka susut susulan belanja operasi tinggi - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan FY26, FY27 Yinson Holdings dijangka susut susulan belanja operasi tinggi - Maybank IB

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 3 April - Yinson Holdings Bhd, dijangka mengalami penurunan pendapatan untuk tahun kewangan 2026 (FY26) hingga 2027 (FY27) disebabkan oleh peningkatan perbelanjaan operasi.

 

Yinson sebelum ini melaksanakan langkah penyusunan semula dalam suku keempat tahun kewangan 2025 (4Q25).

 

Kumpulan juga mencatatkan peruntukan kos sekali sahaja sebanyak RM426 juta, yang sebahagian besarnya berkaitan dengan kapal FPSO Atlanta pada suku keempat tahun kewangan 2025 (4Q25), yang menyebabkan keputusan kewangannya lebih rendah daripada jangkaan. 

 

Menurut Maybank Investment Bank Research (Maybank IB), tanpa peruntukan tersebut, keputusan Yinson akan berada dalam jangkaan.

 

"Disebabkan peruntukan tersebut, Yinson mencatatkan kerugian bersih teras sebanyak RM323 juta pada 4Q25, menjadikan pendapatan teras tahunan kumulatif FY25 sebanyak RM118 juta," kata Maybank IB dalam satu laporan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, FPSO Atlanta telah mencapai pengeluaran minyak pertama pada 31 Disember 2024, membolehkan aset berkenaan memperoleh kadar sewa yang dianggarkan sebanyak RM1.03 juta sehari.

 

Sehubungan itu, Maybank IB percaya Yinson akan dapat meningkatkan pembayaran dividen setiap saham dengan selesa mulai FY26 apabila kumpulan beralih daripada kitaran perbelanjaan modalnya.

 

Firma itu berkata, pasaran FPSO sangat positif kerana terdapat banyak peluang tender global dengan jangkaan 13 projek akan dianugerahkan dalam 12 bulan akan datang. 

 

"Yinson mungkin akan mencari satu projek baharu pada tahun depan (FY26) dalam segmen sederhana untuk projek yang boleh dipercayai dengan bayaran pendahuluan yang tinggi daripada pelanggan akhir," jelas laporan itu.

 

Maybank IB mengekalkan saranan 'beli' untuk saham kumpulan dengan harga sasaran RM4.33. - DagangNews.com