Pendapatan Al-Aqar Healthcare REIT berisiko menyusut kesan pembaharuan pajakan hartanah utama - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan Al-Aqar Healthcare REIT berisiko menyusut kesan pembaharuan pajakan hartanah utama - penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 April - Al-Aqar Healthcare Real Estate Investment Trust (Al-Aqar Helathcare REIT) berdepan risiko penyusutan pendapatan menerusi pembaharuan pajakan lima hartanah utama, kata CIMB Securities.

 

Katanya, pembaharuan pajakan itu merangkumi Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang, Pusat Perubatan Taiping, Pusat Kesihatan TMC dan Hospital Pakar KPJ Serembang boleh memberikan hasil antara 6% hingga 6.1% berbanding 6% hingga 7.3% pada 2023. 

 

“Secara keseluruhan, kami sedikit negatif terhadap cadangan pemerolehan dan pembaharuan pajakan.

 

“Walaupun kami mengiktiraf usaha berterusan Al-Aqar bagi mengembangkan portfolionya, hasil daripada cadangan pemerolehan aset dan pembaharuan pajakan mungkin lebih rendah daripada purata portfolio semasanya," katanya dalam satu nota kajian.

 

Pada minggu lalu, KPJ Healthcare Bhd megumumkan perancangan untuk menyuntik dua hartanah hospital ke dalam Al-Aqar REIT dengan pertimbangan gabungan RM241 juta menerusi perjanjian jual beli. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: KPJ jual Ampang Puteri, KPJ Pulau Pinang bernilai RM241 juta kepada Al-Aqar Healthcare REIT

 

KPJ juga mencadangkan untuk memperbaharui perjanjian pajakan sedia ada untuk enam hartanah hospital dan dua institusi akademik dalam portfolio Al-Aqar. Urus niaga itu dijangka selesai pada separuh kedua 2025.

 

Firma penyelidkan itu berkata, unjuran pendapatan 2026 boleh merosot kira-kira 3.7%, manakala kemasukan aliran pendapatan sewa baharu dalam portfolio Al-Aqar hanya akan mengurangkan sebahagian daripada kesan pembaharuan itu, kata CIMB Securities.

 

Secara keseluruhannya, hasil pengagihan Al-Aqar boleh jatuh kepada 5.9% pada 2026, lebih rendah daripada hasil semasa kira-kira 6.1%, kata CIMB Securities.

 

Selanjutnya, tahap penggearan Al-Aqar boleh meningkat sehingga 48% pada akhir 2026, iaitu hanya dua mata peratusan di bawah had kawal selia sebanyak 50%, jika cadangan pemerolehan dibiayai sepenuhnya melalui pinjaman, tambah firma penyelidikan itu.

 

Bagi MIDF Research, pengambilalihan hanya akan meningkatkan pendapatan kurang daripada 0.5% manakala potensi kenaikan adalah terhad selepas ditolak kos pembiayaan kira-kira 5% dan perbelanjaan.

 

Syarikat penyelidikan itu mengekalkan seruan "neutral" terhadap Al-Aqar untuk "unjuran pendapatan mendatar" dalam nota kajian pada 28 Mac lalu selepas pengambilalihan dan pembaharuan diumumkan. - DagangNews.com