Penangguhan beberapa projek utama, CGS International anggar keuntungan Hibiscus Petroleum menyusut pada FY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penangguhan beberapa projek utama, CGS International anggar keuntungan Hibiscus Petroleum menyusut pada FY26

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Sept - Keuntungan Hibiscus Petroleum Berhad dijangka menyusut pada tahun kewangan 2026 (FY26) selepas kumpulan itu mengumumkan penangguhan beberapa projek utama, kata CGS International.

 

Katanya, pembangunan Teal West di Kluster UK Anasuria serta projek suntikan air (waterflood) di Sabah hanya akan mula menyumbang kepada peningkatan pengeluaran minyak selepas pertengahan tahun 2026 atau FY27.

 

Firma penyelidikan itu berkata, jangkaan itu lewat daripada sasaran awal setahun lalu, iaitu bermulanya pengeluaran di Teal West pada hujung 2024, yang terjejas akibat kekangan pelantar jack-up yang tidak tersedia. 

 

"Projek Sabah yang pada asalnya dijangka beroperasi hujung 2025 ditunda kerana kelewatan menyiapkan fasiliti suntikan air oleh kontraktor pihak ketiga.

 

"Akibat kelewatan tersebut, kami mengunjurkan keuntungan bersih teras FY26F akan merosot 58%. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Hibiscus Petroleum kaut untung bersih RM117.5 juta pada FY25, disokong aliran tunai operasi teguh

 

"Sumbangan penuh daripada pemerolehan medan Blok B Maharajalela Jamalualam (MLJ) dijangka hanya dapat mengimbangi sebahagian kesan daripada harga purata Brent yang lebih rendah (AS$67.25 setong berbanding AS$73.73 pada FY25) dan impak cukai yang lebih ringan berikutan ketiadaan caj cukai tangguhan berkaitan Energy Profits Levy (EPL) di UK," katanya dalam satu nota kajian.

 

Bagaimanapun, prospek pertumbuhan jangka sederhana kumpulan itu kekal positif. 

 

CGS International berkata, Hibiscus mencatatkan lonjakan 60% keuntungan bersih teras pada FY27F apabila Teal West dan projek suntikan air Sabah mula beroperasi sepenuhnya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "tambah" terhadap saham Hibiscus dengan harga sasaran (TP) RM2.93 sesaham. 

 

Namun, CGS International memberi amaran risiko mungkin wujud sekiranya harga minyak Brent jatuh lebih rendah daripada jangkaan, dengan Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat mengunjurkan purata hanya AS$51 setong. - DagangNews.com