KUALA LUMPUR 26 Ogos - Aeon Co (M) Berhad diyakini terus memberi fokus kepada inisiatif penambahbaikan aset sebagai lagkah utama bagi meningkatkan daya saing pusat beli-belahnya dan menarik lebih banyak penyewa walaupun berdepan cabaran dalam sektor runcit, menurut penganalisis.
RHB Research berkata, pihak pengurusan kekal komited terhadap usaha penambahbaikan aset sebagai strategi utama untuk menyokong pemulihan dan pertumbuhan jangka panjang.
Katanya, antara inisiatif yang sedang dilaksanakan termasuk menaik taraf kemudahan, menyusun semula campuran penyewa dan memperkenalkan pengalaman pelanggan yang lebih menarik melalui inovasi digital serta elemen kelestarian.
Firma penyelidikan itu berkata, usaha itu dijangka dapat meningkatkan kadar penghunian serta menarik jenama-jenama baharu yang relevan dengan kehendak pengguna masa kini.
“Penambahbaikan dan penyegaran semula aset adalah penting untuk memastikan pusat beli-belahkekal relevan dan kompetitif Inisiatif ini bukan sahaja menyokong penyewa sedia ada, malah membantu menarik lebih ramai penyewa baharu," katanya dalam satu nota kajian.
Aeon juga sedang melaksanakan projek pengembangan utama seperti KL MidTown dan AEON Seremban 2, yang dijangka siap dalam tahun kewangan 2026 hingga 2027. Kedua-dua projek ini akan menambah kira-kira 400,000 kaki persegi keluasan boleh disewa (NLA), bersamaan peningkatan sebanyak 3%.
Firma penyelidkan itu memberikan penarafan "neutral" dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu RM1.46 sesaham berbanding RM1.75 sesaham.
Sementara itu, MBSB Research positif terhadap prospek Aeon, disokong oleh perbelanjaan pengguna yang berdaya tahan serta langkah-langkah kerajaan yang membantu mengekalkan permintaan isi rumah.
Katanya, bahagian pengurusan hartanah (PMS) terus menjadi penyumbang utama kepada pendapatan melalui kadar penghunian yang kukuh dan pembaharuan sewaan yang stabil.
Firma penyelidikan itu berkata, pengembangan jenama sendiri, penambahbaikan program kesetiaan pelanggan, inisiatif digital, dan kerja-kerja naik taraf pusat beli-belah yang berterusan dijangka dapat memperkukuh keterlibatan pelanggan dan menyokong pertumbuhan jangka panjang.
"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM1.77 sesaham," katanya.- DagangNews.com








