KUALA LUMPUR 18 Dis – Top Glove Corporation Bhd mula mencatat pemulihan kewangan yang ketara pada 1QFY26, dengan keuntungan teras yang melonjak berbanding suku sama tahun lepas didorong oleh volum jualan yang lebih tinggi, kadar penggunaan kapasiti yang meningkat kepada kira-kira 75%, serta penjimatan kos operasi, kata penganalisis.
Penganalisis berpendapat langkah-langkah Top Glove dalam mengoptimumkan kos dan penggunaan kapasiti yang lebih efisien membantu mengekalkan margin keuntungan.
RHB Research mengekalkan saranan ‘neutral’ ke atas saham pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu dengan harga sasaran baharu RM0.64, berbanding RM0.61 sebelum ini, mencerminkan potensi penurunan kecil sekitar 1% daripada harga pasaran semasa.
Firma penyelidikan itu berkata permintaan terhadap produk Top Glove menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang lebih jelas, dengan aliran tempahan mingguan meningkat kepada kira-kira 1.4 bilion keping, melebihi kapasiti pengeluaran semasa dan memanjangkan tempoh menunggu pesanan kepada lebih 60 hari.
“Peningkatan volum jualan secara berperingkat, terutamanya dalam segmen sarung tangan getah asli, telah mendorong kadar penggunaan kapasiti kumpulan kepada sekitar 75%, sekali gus membantu mengimbangi kesan kelemahan nilai dolar AS berbanding ringgit serta penurunan harga jualan purata (ASP).
Bagi 1QFY26, keuntungan teras Top Glove meningkat kepada RM37.4 juta, melonjak 48% berbanding suku sebelumnya, dan memenuhi kira-kira 23% unjuran keuntungan setahun penuh RHB serta 24% anggaran konsensus pasaran.
Hasil kumpulan bagaimanapun kekal hampir mendatar pada RM883.6 juta, susut kecil 0.7% suku ke suku, meskipun volum jualan meningkat 4%, berikutan penurunan ASP campuran kepada AS$17.3 bagi setiap 1,000 keping.
Firma tersebut berkata margin operasi menunjukkan penambahbaikan apabila berkembang kepada 4.6%, didorong oleh inisiatif pengoptimuman kos, peningkatan kecekapan operasi dan penggunaan kapasiti yang lebih tinggi, selain kadar cukai efektif yang lebih rendah pada 14.7%.
“Dari segi produk, pertumbuhan volum didorong terutamanya oleh sarung tangan lateks yang mencatat peningkatan 7% suku ke suku, hasil strategi harga yang lebih agresif, walaupun ASP lateks mencatat penurunan dua digit berbanding suku sebelumnya.
“Sarung tangan nitril pula menunjukkan daya tahan harga yang lebih baik dengan penurunan ASP yang lebih sederhana, sementara volum kekal mendatar, menyebabkan campuran jualan berubah sedikit kepada 54% nitril dan 36% lateks.
“Dari sudut geografi, pertumbuhan volum tertumpu di Asia dan Amerika Latin, masing-masing meningkat 20% dan 9% suku ke suku, sebahagian besarnya dipacu oleh permintaan sarung tangan lateks,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
ARTIKEL BERKAITAN: Top Glove catat pemulihan luar biasa, keuntungan bersih melonjak lebih 600% kepada RM38.6 juta pada 1QFY2026
Bagi menyokong peningkatan permintaan, Top Glove merancang untuk mengaktifkan semula 6 bilion keping kapasiti terbiar merentasi empat kilang, yang memerlukan perbelanjaan modal sekitar RM20 juta serta pengambilan kira-kira 800 pekerja tambahan.
Pengurusan kumpulan menyasarkan pertumbuhan volum sebanyak 30% bagi FY26, melebihi unjuran RHB sebanyak 24%, sambil menjangkakan sedikit pemulihan ASP pada suku kedua, walaupun persekitaran harga kekal kompetitif.
Susulan keputusan suku tahunan itu, RHB menaikkan unjuran pendapatan Top Glove bagi FY26 hingga FY28 antara 2% hingga 3% dan mengekalkan pandangan berhati-hati terhadap risiko utama termasuk turun naik mata wang, tekanan harga sarung tangan, kadar penggunaan kapasiti serta harga bahan mentah.
Sementara itu Maybank Investment Bank telah menaikkan unjuran keuntungan FY26-FY28 Top Glove antara 28% hingga 74%, sejajar dengan kadar penggunaan kapasiti yang lebih tinggi dan kos nitril lateks yang menurun.
“Syarikat dijangka menikmati kestabilan harga dan jumlah jualan jangka pendek berikutan isu permulaan di kilang China dan gangguan cuaca di Thailand.
“Top Glove kekal sebagai pengeluar sarung tangan terbesar dunia dengan operasi di Malaysia, Thailand dan Vietnam, memiliki 784 garis pengeluaran dan kapasiti pemasangan sebanyak 95 bilion unit setahun.
“Syarikat mencatatkan hutang bersih hanya 2% pada akhir 1QFY26, mengekalkan polisi pembayaran dividen sebanyak 50% daripada PATAMI,” katanya.
Maybank IB mengekalkan saranan Pegang ke atas saham Top Glove berikutan harga semasa kini berada pada RM0.65, berbanding harga sasaran 12 bulan pada RM0.62 menunjukkan potensi kenaikan harga saham yang terhad dalam jangka masa terdekat. - DagangNews.com








