KUALA LUMPUR 8 Jan – Pemulihan ekonomi Sabah pasca pandemik Covid-19 dilihat bergerak secara lebih sederhana dan terkawal, apabila populasi bukan warganegara di negeri itu mencatat sedikit penurunan pada 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Anggaran DOSM menunjukkan populasi bukan warganegara Sabah berjumlah kira-kira 1.04 juta orang pada 2025, susut 0.32% berbanding 1.04 juta pada tahun sebelumnya.
Data yang diterbitkan pada 24 Disember 2025 itu mencerminkan fasa pelarasan berterusan selepas pandemik, susulan penutupan sempadan dan gangguan bekalan buruh yang mengubah corak migrasi.
Walaupun mencatat penurunan marginal, Sabah kekal sebagai negeri dengan populasi bukan warganegara tertinggi di Malaysia, sejajar peranannya sebagai hab utama tenaga kerja migran.
Dari sudut sejarah, Sabah pernah mencatatkan kadar tertinggi secara perkadaran pada 1991 iaitu 56.5%, manakala dari segi bilangan mutlak, kemuncak dicapai pada 2018 dengan kira-kira 1.16 juta orang.
Anggaran 2025 yang masih jauh lebih rendah berbanding paras 2018 menunjukkan pemulihan migrasi belum kembali sepenuhnya ke tahap pra-pandemik, sekali gus memberi gambaran pemulihan ekonomi yang lebih berhati-hati dan berperingkat.
Tempoh pandemik antara 2020 hingga 2022 menyaksikan perubahan ketara apabila populasi bukan warganegara Malaysia merosot kepada sekitar 2.56 juta orang pada 202, manakala Sabah merekodkan kejatuhan kepada kira-kira 780,000 orang, susulan sekatan pergerakan dan gangguan sektor ekonomi utama.
Dari segi taburan daerah bagi 2025, Sandakan mencatat jumlah bukan warganegara tertinggi dengan kira-kira 195,100 orang, diikuti Tawau (142,900) dan Kota Kinabalu (125,400).
Namun secara perkadaran, Kinabatangan mencatatkan bahagian bukan warganegara tertinggi iaitu 72.9%, diikuti Kalabakan (69.3 peratus) dan Kunak (53.4 peratus).
Kota Kinabalu pula mencatat kadar pertumbuhan tahunan 2.9% pada 2025, selepas lonjakan ketara pada 2024, selari dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi dan pendidikan serta kemasukan semula pekerja asing dan pelajar antarabangsa.
Namun, jumlah tersebut masih lebih rendah berbanding paras 2018 iaitu sekitar 144,700 orang, menandakan pemulihan yang lebih terkawal berbanding lonjakan mendadak.
Menurut DOSM, semua anggaran ini adalah berdasarkan konsep de jure pertengahan tahun, yang hanya mengambil kira individu yang menetap atau dijangka menetap sekurang-kurangnya enam bulan dan tidak termasuk populasi sementara siang atau malam yang lazimnya meningkatkan kepadatan bandar bagi tujuan kerja, pembelajaran atau aktiviti harian. - DagangNews.com








