KUALA LUMPUR 11 April - Malaysia mencadangkan agar satu sidang kemuncak ASEAN-AS diadakan di Amerika Syarikat (AS) tahun ini untuk membincangkan isu Tarif Perdagangan AS, selaras dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, negara menerusi Kementerian Luar telah mencadangkan sidang kemuncak berkenaan.
Beliau turut mengesahkan, semua pemimpin ASEAN bersetuju untuk hadir ke AS bagi bertemu Presiden Donald Trump semasa sidang itu.
"Saya dimaklumkan oleh sekretariat ASEAN, kita hanya menunggu maklum balas dari pihak AS mengenai tarikh sidang tersebut," katanya dalam wawancara bersama CNBC, hari ini.
Tengku Zafrul turut menegaskan, ASEAN tidak menyokong tindakan balas dalam bentuk tarif, sebaliknya memilih untuk terus berunding dan menjalin kerjasama dengan Washington.
Bagi pihak Malaysia, beliau berkata, negara mengambil pendekatan dua hala dan pelbagai hala dalam menangani isu tersebut.
"Kita bersetuju sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan adalah laluan terbaik buat Malaysia.
"Pegawai-pegawai kami di Washington, termasuk dari kementerian dan kedutaan, sedang aktif menjalankan perbincangan dengan pihak AS," jelasnya.
Beliau turut memaklumkan, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan juga telah berbincang dengan Setiausaha Negara AS, Marco Rubio mengenai isu berkaitan tarif.
Malaysia kini mengenakan purata tarif sebanyak 5.6% bagi barangan dari AS.
Tambahnya lagi, Putrajaya menyambut baik keputusan AS untuk menangguhkan tindakan balas tarif, yang dilihat membuka ruang untuk rundingan dan kerjasama lebih lanjut.
Dalam satu kenyataan bersama selepas Mesyuarat Khas Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) hari ini, para menteri menyatakan komitmen untuk melindungi kepentingan ekonomi ASEAN serta mengekalkan hubungan perdagangan yang erat dan saling menguntungkan dengan AS.
Mesyuarat maya itu dipengerusikan oleh Tengku Zafrul sendiri.
Menteri-menteri ASEAN turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan AS di bawah Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan ASEAN-AS (TIFA) serta Pelan Kerja E3 bagi mencari penyelesaian yang diterima bersama.
Kerjasama tersebut termasuk memperkukuh perdagangan dua hala, memperdalam hubungan strategik, serta meningkatkan daya tahan rantaian bekalan melalui teknologi digital dan inovasi untuk menyokong kerjasama serantau yang lebih kukuh.
"ASEAN percaya, rangka kerja kerjasama ekonomi ASEAN-AS yang lebih kukuh dan berpandangan jauh akan memberi manfaat besar kepada rakyat kita dan juga ekonomi global secara keseluruhan," kata kenyataan itu. - DagangNews.com








