Pemegang saham WCT luluskan penyenaraian Paradigm REIT di Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemegang saham WCT luluskan penyenaraian Paradigm REIT di Pasaran Utama Bursa Malaysia

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 10 April - WCT Holdings Bhd memaklumkan, pemegang sahamnya telah meluluskan cadangan penyenaraian Paradigm Real Estate Investment Trust (Paradigm REIT) di Pasaran Utama Bursa Malaysia, dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan semalam.

 

Sebagai sebahagian daripada langkah penyenaraian itu, pemegang saham turut meluluskan cadangan penjualan tiga hartanah runcit utama iaitu Bukit Tinggi Shopping Centre (BTSC), Paradigm Mall Petaling Jaya (PMPJ) dan Paradigm Mall Johor Bahru (PMJB) kepada Paradigm REIT dengan nilai keseluruhan RM2.44 bilion.

 

Urus niaga itu akan diselesaikan menerusi terbitan 1.6 bilion unit Paradigm REIT pada harga RM1 seunit berjumlah RM1.6 bilion, serta bayaran tunai RM837 juta yang akan dibiayai melalui terbitan nota jangka sederhana berasaskan hartanah komersial.

 

WCT berkata, penyenaraian Paradigm REIT merupakan satu langkah penting dalam pelan pertumbuhan strategik kumpulan, yang akan membantu memaksimumkan nilai aset runcit syarikat serta mengoptimumkan struktur modal.

 

Penyenaraian berkenaan juga dijangka mengukuhkan kedudukan kewangan WCT dengan mengurangkan beban hutang, sambil memberi peluang kepada pelabur untuk menyertai portfolio hartanah runcit yang menjana pendapatan berterusan dan pulangan jangka panjang.

 

Pengarah Urusan WCT, Datuk Lee Tuck Fook berkata, pihaknya berterima kasih atas sokongan kukuh daripada pemegang saham yang telah meluluskan penyenaraian Paradigm REIT.

 

"Langkah strategik ini bukan sahaja membuka nilai sebenar aset runcit kami, malah memberikan lebih fleksibiliti kewangan untuk meneroka peluang pertumbuhan baharu," katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau yakin, Paradigm REIT akan menjadi satu tambahan yang bernilai kepada Pasaran Utama Bursa Malaysia dan mampu memberikan pulangan berterusan kepada para pelabur.

 

Menurut portfolio awal Paradigm REIT, Bukit Tinggi Shopping Centre akan diambil alih daripada Gemilang Waras Sdn Bhd yang juga anak syarikat milik penuh WCT pada harga RM680 juta, dengan sejumlah RM350 juta dalam bentuk unit REIT dan RM330 juta secara tunai.

 

Paradigm Mall Petaling Jaya, milik Jelas Puri Sdn Bhd (usaha sama 70% milik WCT), akan diambil alih pada harga RM600 juta, dengan RM230 juta dalam unit dan RM370 juta dalam bentuk tunai.

 

Sementara itu, Paradigm Mall Johor Bahru, milik WCT Hartanah Jaya Sdn Bhd yang juga anak syarikat milik penuh WCT, akan diambil alih dengan harga RM1.16 bilion, dengan RM1.02 bilion dalam unit dan RM137 juta secara tunai.

 

Dalam mesyuarat yang sama, pemegang saham juga meluluskan tawaran sehingga 560 juta unit Paradigm REIT termasuk 254.66 juta unit untuk pemegang saham layak WCT, pengarah dan kakitangan terpilih, syarikat pengurusan Paradigm REIT, dan orang awam di Malaysia.


  
Daripada jumlah itu, kira-kira 194.86 juta unit akan diperuntukkan kepada pemegang saham WCT berdasarkan satu unit tawaran bagi setiap lapan saham biasa sedia ada yang dimiliki.

 

Sebanyak 305.34 juta unit lagi diperuntukkan untuk pelabur institusi, termasuk 200 juta unit khusus untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) dan selebihnya kepada pelabur institusi serta pelabur terpilih lain. - DagangNews.com