Pemegang saham Pavilion REIT luluskan pembelian Banyan Tree and Pavilion Hotel berharga RM480 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemegang saham Pavilion REIT luluskan pembelian Banyan Tree and Pavilion Hotel berharga RM480 juta

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 8 Mei –  Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) mendapat kelulusan pemegang saham untuk membeli dua aset hospitaliti utama, Banyan Tree Kuala Lumpur (BTKL) dan Pavilion Hotel Kuala Lumpur (PHKL) pada harga RM480 juta.

 

Pavilion REIT berkata, keputusan yang diluluskan itu membolehkan MTrustee Bhd meneruskan urus niaga dengan Lumayan Indah Sdn Bhd dan Harmoni Perkasa Sdn Bhd selaku penjual.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Pavilion REIT Management Sdn Bhd, Datuk Philip Ho berkata, kelulusan tersebut menunjukkan sokongan kukuh pemegang saham terhadap langkah strategik itu.

 

"Kedua-dua hotel ini sangat sesuai dengan Pavilion Kuala Lumpur Mall dan Elite Pavilion Mall, sekali gus meningkatkan pengalaman pengunjung dan tetamu hotel," katanya dalam satu kenyataan.

 

Kedua-dua hotel yang dikendalikan Banyan Tree Hotels & Resorts Pte Ltd itu mencatatkan purata kadar penginapan tinggi bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, iaitu 82.1% (BTKL) dan 81.5% (PHKL).

 

BTKL yang terletak dalam bangunan 59 tingkat menawarkan 55 bilik, Banyan Tree Spa, dan bar atas bumbung. 

 

PHKL yang terletak di atas Pavilion Kuala Lumpur Mall menyediakan 325 bilik lengkap dengan kemudahan mesyuarat dan acara.

 

Pavilion REIT berkata, pembelian itu dibiayai melalui gabungan pinjaman atau penerbitan saham baharu, termasuk sehingga 172.4 juta unit kepada vendor dan penempatan persendirian sehingga 386 juta unit untuk mengumpul dana antara RM264 juta hingga RM552 juta.

 

Hotel tersebut akan disewakan kepada Harmoni Perkasa untuk tempoh awal 10 tahun dengan pilihan pembaharuan sehingga 20 tahun. 

 

Pajakan itu menjamin sewa tahunan tetap RM33.5 juta bagi lima tahun pertama, memberikan hasil kasar sekitar 7.0%, dengan potensi kenaikan melalui komponen sewa berdasarkan prestasi.

 

Struktur tersebut menawarkan kestabilan hasil dan potensi pertumbuhan berdasarkan prestasi hotel dari semasa ke semasa.

 

Selepas pembelian itu, hotel-hotel tersebut akan mewakili kira-kira 5.5% daripada jumlah aset di bawah pengurusan Pavilion REIT, manakala pegangan Pavilion Kuala Lumpur Mall dalam portfolio akan berkurangan daripada 61.8% kepada 58.5%.- DagangNews.com